KETIKA ramai pelajar lepasan universiti dan kolej mengganggur, namun Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) pula mencatat hampir 60 peratus graduannya mendapat pekerjaan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pencapaian itu begitu membanggakan semasa kegawatan ekonomi melanda negara sekarang.
Katanya, ramai graduan lepasan pengajian tinggi sekarang sukar mendapatkan pekerjaan.
“Ini membuktikan graduan KIAS berkualiti serta mampu memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
“Oleh itu kita berharap KIAS terus memainkan peranan yang lebih holistik dan melakukan pelbagai strategi untuk mempastikan kebolehpasaran graduan,” katanya pada istiadat konvokesyen KIAS di sini semalam.
Seramai 270 graduan KIAS berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma menerima sijil disampaikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Mohd Amar yang juga Pengerusi Majlis KIAS berkata, sebahagian besar pelajar lepasan diploma memilih menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. – HARAKAHDAILY 21/8/2017