Home Berita PAS Kelantan

5,000 anak Pisang Berangan tisu kultur diagih kepada petani

94
SHARE

PASIR PUTEH, 6 September: Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan kearah Jelapang Makanan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, YB Mohd Rodzi Jaafar mengambil inisiatif mengagihkan 5,000 anak benih pokok Pisang Berangan melalui pembiakan tisu kultur kepada rakyat di DUN Gaal.

YB Mohd Rodzi memaklumkan anak benih yang dibekalkan itu sangat berkualiti tinggi dan tahan penyakit serta cepat membesar.
Beliau berharap inisiatifnya mampu menyumbang ke arah hasrat untuk menjadikan DUN Gaal sebagai hub pertanian di Kelantan.

Majlis penyampaian anak benih ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Berucap semasa merasmikan majlis, beliau berkata hasrat YB Mohd Rodzi yang ingin menjadikan DUN Gaal sebagai DUN pertanian, Kerajaan Negeri sedia membantu memperhebatkan pertanian di Gaal sehingga mampu mewujudan kilang pemprosesan produk hiliran dan IKS”.

Ujarnya lagi, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri iaitu Jawatankuasa ‘Food Security Negara’ dan Dasar Agromakanan Negara dengan penyediaan peruntukan yang besar.

“Saya mengajak kita bersatu padu dalam membangunkan negara kita dalam pelbagai sektor termasuk bidang pertanian bagi menghadapi krisis makanan. Negeri Kelantan telah mengambil inisiatif lebih awal dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Strategik Pertanian Negeri Kelantan 2021-2025 dan Gerakan Pertanian Al Falah (GEPA)” jelasnya.

Majlis pembahagian 5,000 anak pisang berangan tersebut melibatkan lima penerima yang mendapat 500 pokok setiap seorang.

Manakala setiap wakil penghulu yang melibatkan 20 penerima mendapat 100 pokok seorang dan 50 penduduk kampung terpilih mendapat sepuluh pokok seorang.