Home Berita PAS Kedah

50 pakar berhimpun bangunkan Cordoba Of Kedah

328
SHARE

Oleh MOHD SABRI ABU BAKAR

ALOR SETAR, 3 Nov – Seramai 50 pakar akademik dari beberapa universiti tempatan, pemimpin, pegawai kerajaan, pakar agama dan ilmuan Islam dihimpunkan di Raia Hotel, di sini, bagi mencari idea-idea membangunkan Cordoba Of Kedah.

Antaranya ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (UniSHAMS) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Exco Agama Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad berkata, menerusi progam bermula pagi hingga petang itu, kepakaran setiap peserta

dikumpulkan melalui perbincangan yang dibuat secara  berkumpulan.

Menurutnya, progam Cordoba Of Kedah ialah satu usaha menyiapkan Kedah dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2035 dengan memanfaatkan setiap institusi pengajian yang ada di negeri ini.

“Program Cordoba Of Kedah adalah satu gagasan baru yang dilontarkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ucapan pembentangan Bajet Kedah tahun lepas.

“Jadi kita menyambut gagasan ini dengan kita cuba menyesuaikan dengan ‘blue print’ Kedah 2035,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, melalui program ini, pendidikan di Kedah akan dikemaskini dengan memanfaatkan kekuatan yang sedia ada.

“Pertama sekali ialah menjadikan UniSHAMS itu sendiri sebagai hub pendidikan untuk melaksanakan Cordoba Of Kedah, terasnya di situ.

“Di samping itu, kita cuba menyusun sistem pendidikan yang memang banyak di Kedah ini iaitu pusat pengajian, pondok, sekolah agama dan sebagainya.

“Jadi kita cuba satukan, maksudnya satukan itu kita cuba manfaatkan kekuatan itu bagi melahirkan generasi madani dalam tempoh 15 tahun akan datang, Insya Allah dan selanjutnya.

“Ini satu usaha yang perlu dilakukan dalam usaha nak menentukan jati diri umat Islam, yang akan melengkapkan antara kekuatan kehoranian, spritual dan kemahiran,” katanya.

Najmi berkata, Kedah sedang menuju ke arah pembangunan yang pesat jadi ia memerlukan kepada tenaga kerja yang ramai.

“Jadi (Cordoba Of Kedah) ini sebagai satu bekalan melahirkan tenaga kerja menjelang Kedah 2035,” katanya.

Tegas Najmi, kerajaan manapun yang mentadbir Kedah selepas ini perlu meneruskan usaha yang murni sedang dilakukan kerajaan Kedah hari ini.

Progam kali pertama dilakukan ini ialah anjuran Pejabat Exco Agama Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN).

Antara pemimpin yang hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Mohd Azam Samat, ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria, Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Rodhi Abdul Rahman merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Kedah dan Pesuruhjaya PAS Kedah merangkap Ahli Dewan Negara, Dato’ Ahmad Yahaya .