Home Berita PAS Terengganu

3,742 Penduduk Setiu pelbagai kategori terima bantuan

72
SHARE

SETIU, Prihatin dengan nasib penduduk, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir terus aktif menghulurkan sumbangan kepada yang terkesan akibat Sekatan Pergerakan Penuh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sejak seminggu lalu, pihaknya mengagihkan bantuan ke seluruh kawasan Setiu melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Rakit, Langkap, Permaisuri dan Jabi.

Shaharizukirnain melalui laman Facebook rasminya berkata, beliau selesai sudah mengagihkan sumbangan kepada semua penerima di Parlimen Setiu melibatkan seramai 3,742 orang dalam kalangan 18 kategori yang ditetapkan.

“Antara yang termasuk dalam 18 golongan yang terjejas ini adalah individu yang dibuang kerja, bekerja sendiri, pemandu bas ekspres atau pemandu bas sekolah, pemandu kereta sewa dan grab.

“Selain itu, tukang gunting rambut, tukang urut, pekerja ‘snow wash’, guru sekolah memandu, perawat tradisional, pengusaha warung-warung kecil, peniaga pasar malam, buruh, tukang sapu dan banyak lagi turut mendapat bantuan,” katanya.

Jelasnya, agihan bantuan tersebut mengambil masa empat hari kerana pengagihan diselesaikan mengikut turutan DUN.

“Dimulakan dengan DUN Batu Rakit, Langkap, Jabi dan yang terakhir Permaisuri dengan tiga kumpulan dibahagi dan bergerak serentak.

“Kerja agihan sumbangan bukan terhenti setakat itu sahaja tetapi platform bantuan yang lain seperti Food Bank turut disediakan. Yang penting hubungi saja jika memerlukan. Khidmat kami sentiasa terbuka dalam apa jua situasi dan keadaan.

“Insya-Allah sumbangan seterusnya adalah kepada penoreh dan nelayan yang terkesan serta sumbangan bakul makanan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini,” jelasnya.