KOTA BHARU, 11 September: Dengan membawa semangat “Demi Klate Kito Lawe”, 334 atlet telah mewakili negeri untuk ke perlawanan Sukan Malaysia ke 20 (SUKMA XX) yang dijadualkan berlangsung pada 29 September hingga 8 Oktober ini.
Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang terlibat.
“Saya berharap supaya semua atlet dapat berusaha bersungguh-sungguh, buat yang terbaik dan berdoa agar memperoleh kejayaan dalam temasya itu nanti.”
Demikian menurutnya dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kelantan SUKMA ke 20 bagi tahun 2022 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa pada 8 September lalu.
Memetik maksud hadis nabi SAW “Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah,” beliau berkata, para atlet dan komuniti sukan adalah ikon kepada budaya mendisiplinkan diri dengan gaya hidup sihat di samping meneruskan norma syarie dalam beribadah.
“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat program pembangunan atlet yang dihasilkan dapat meraih keputusan yang positif dalam temasya kali ini, sekaligus mencapai sasaran kecemerlangan pada tahun 2026, bila mana Kelantan menjadi tuan rumah SUKMA nanti,” katanya.
Sebagai pendorong dan pembakar semangat buat atlet di temasya itu nanti, beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan memberi insentif khas kepada atlet yang berjaya meraih pingat sebagai tanda penghargaan atas usaha kejayaan mereka.