Home Berita PAS Kelantan

30 peratus penggiat industri pelancongan digesa lengkapkan 2 dos imunisasi

26
SHARE

Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA

KUALA KRAI, 3 Oct: Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman menggesa agar semua penggiat industri pelancongan di negeri ini segera melengkapkan dua dos suntikan vaksin sebagai persediaan menerima kunjungan pelancong apabila negeri beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Oktober nanti.

Beliau berkata, maklumat yang diterima kira-kira 70 peratus telah selesai melengkapkan dua dos suntikan COVID-19, sekali gus boleh memberi kesan positif kepada pasaran pelancongan, malah turut memberi keyakinan kepada rakyat yang ingin melancong, ini kerana penggiat industri pelancongan antara golongan yang berhadapan dengan orang ramai.

“Hampir dua tahun industri pelancongan dilihat suram dan kita berharap negeri ini segera beralih ke fasa ketiga untuk membolehkan industri pelancongan dibuka dan dapat merancakkan kembali sektor tersebut.

Pada peringkat awal, kita menyasarkan satu hingga dua juta pelancong setahun yang akan memasuki negeri ini, walaupun pembukaan industri pelancongan tidak secara drastik, diharap akan dapat memulihkan ekonomi pelancongan, ” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Semarak Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan di Zoo Kuala Krai, semalam.