Home Berita PAS Kedah

30 orang penerima zahirkan kesyukuran atas sumbangan yang diberikan

80
SHARE

DERGA, 5 Feb – Setiap kali program kebajikan diadakan, rata-rata penerima sumbangan pasti menzahirkan kesyukuran dan perasaan terharu mereka terhadap sumbangan yang diberikan.

Demikian seperti yang diluahkan oleh salah seorang penerima daripada 30 orang penerima sumbangan Ziarah Sejahtera anjuran AMEERAH Pokok Sena dengan kerjasama Muslimat PAS Dun Derga bertempat di Dun Derga, semalam.

“Terima kasih sudi jenguk kami sekeluarga. Tak ramai yang sanggup turun berikan bantuan ke rumah-rumah di musim Covid ni. Mak cik tak boleh bangun, kesian anak-anak dan suami mak cik terpaksa angkat mak cik setiap kali nak bangun..”, luah ibu tersebut.

Bukan itu sahaja, terdapat penerima yang mengadu dirinya memerlukan bantuan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan dan juga komputer riba untuk memudahkan pembelajaran anak-anak mereka. PAS Dun Derga dan AMEERAH Pokok Sena sentiasa cakna dan berusaha sedaya upaya membantu meringankan beban yang ditanggung para penerima.

Menerusi program Ziarah Sejahtera ini, sebanyak 30 buah rumah di dua lokaliti terlibat iaitu Kubang Buaya dan Kampung Sakan berjaya dijejaki dan diberikan bantuan. Setiap penerima dibekalkan dengan barangan keperluan asas seperti beras, biskut dan sebagainya.

Turut hadir, Tuan Haji Mohamad selaku perasmi program dan juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pokok Sena, Puan Zaleha Jamaluddin.

Pengarah Program Ziarah Sejahtera, Nurafwa Ismail berkata, segala kekurangan yang berlaku akan ditambahbaik pada masa akan datang.

“InshaAllah pihak AMEERAH Pokok Sena akan sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap program Ziarah Sejahtera dari semasa ke semasa,” ujar beliau usai menyempurnakan agihan bantuan.

Kira-kira 20 orang lebih sukarelawan yang terdiri daripada muslimat PAS Dun Derga, ahli jawatankuasa AMEERAH, Briged Muslimat dan Muslimat Medik (Musmed) terlibat dalam mengagihkan sumbangan ke rumah-rumah.