Home Berita PAS Kelantan

25 ‘Anak Istimewa’ Pasir Mas divaksinasi

206
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
PASIR MAS, 20 Jun: Empat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Pasir Mas terbabit dengan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) iaitu PDK Kasturi, PDK Suria Mas, PDK Syakirin dan PDK Nur Ilham.
Pegawai Kesihatan Daerah Pasir Mas, Dr Najihah Mahfuzah Zakria berkata keutamaan diberikan kepada golongan ini kerana berisiko tinggi mendapat jangkitan, selain cenderung kepada komplikasi sekiranya dijangkiti disebabkan oleh limitasi keupayaan yang dialami dan penting untuk mewujudkan ‘safe bubble’ dalam kalangan mereka.
“200 penerima terdiri daripada pelatih (OKU), pengajar dan penjaga divaksinkan bagi memastikan terbentuknya perlindungan dan seterusnya bagi mencapai imuniti kelompok di setiap kawasan”, katanya.
Sementara itu, Muhammad Anas Safwan Madzlan, 25, yang bertanggungjawab menenangkan 25 ‘anak istimewa’ untuk divaksinasi di PDK Nur Ilham, Tendong baru-baru ini berkongsi pengalaman memastikan semua pelajar istimewanya disambut dengan suasana gembira sebelum menerima suntikan vaksin.
Beliau memulakan tugas seawal jam 7.45 pagi bersama tiga lagi rakan setugas termasuk seorang penyelia mesra menyantuni pelajar berusia 18 hingga 35 tahun yang menghidap sindrom down, autisme dan masalah pembelajaran.
“Sebelum hadir ke program tersebut, kami menelefon dan meyakinkan setiap keluarga untuk membawa anak mereka ke program vaksinasi dan ada keluarga pada awalnya menolak. Namun selepas mendengar penerangan, mereka akur demi keselamatan anak istimewa terbabit”, katanya ketika dihubungi melalui telefon.
Anas bersyukur semua anak istimewa tersebut menerima suntikan vaksin dengan baik tanpa rasa takut, meskipun ada segelintir yang perlu ditenangkan terlebih dahulu kerana mula menangis apabila melihat jarum dipegang petugas kesihatan.
“Ada juga yang memeluk saya sejurus divaksinasi dan mengadu sakit namun selepas dipujuk mesra mereka kembali tenang, tersenyum dan pulang dengan gembira,” katanya yang sudah tiga tahun berkhidmat sebagai petugas PDK tersebut.