Oleh ANA NAJWA
SUNGAI LIMAU, 9 Nov – ADUN Sg Limau, YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat serta Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Jerai baru-baru ini turun ke lapangan bagi menyantuni beberapa buah keluarga penduduk yang dikuarantin akibat COVID-19.
YB Ustaz Mohd Azam berkata terdapat dalam kalangan ahli keluarga penduduk tersebut serta kenalan-kenalan mereka telah dijangkiti virus COVID-19. Ini menyebabkan sebahagian daripada mereka diklasifikasikan sebagai kontak rapat dan perlu dikuarantin di rumah masing-masing.
Sebanyak lapan buah keluarga di Kampung Padang Besar dan Kampung Dato Abdullah sempat diziarahi oleh YB Ustaz Mohd Azam.
“Barangan bakul makanan hanya diletakkan di luar rumah penduduk sahaja, demi menjaga penjarakkan sosial,” ujar YB Ustaz Mohd Azam dalam usaha mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
YB Ustaz juga berkesempatan menanyakan khabar mereka dan jiran yang terlibat. Difahamkan bahawa warga emas sekitar yang mempunyai simptom telah dibawa ke pusat kuarantin. Hanya individu tidak bergejala sahaja yang dikuarantin di rumah dan dipakaikan gelang merah jambu.
Semoga semua yang terlibat terus bersabar dan jaga kesihatan dan didoakan semoga Allah permudahkan segala urusan.