Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka : 85 kes baharu

353
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 14 Jan : Sebanyak 85 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini, seperti dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada 85 kes itu, 82 daripadanya adalah daripada kes tempatan manakala tiga lagi adalah daripada kes Import B yang mana kesemuanya melibatkan ketiga-tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Berikut adalah perincian kes dinyatakan di dalam poster infografik di bawah ini:

Tambah laporan itu lagi, sebanyak 425 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk 10 kes ICU sementara empat kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Selain itu, JKNM turut memaklumkan bahawa kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas dan Kluster Anak Air sementara dua kluster negeri lain yang melibatkan Melaka ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.

Kawasan berisiko yang terlibat untuk kes-kes yang berlaku di Negeri Melaka hari ini adalah Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan, kata laporan itu lagi.

Laporan itu juga menyatakan dua mukim masih berada di dalam zon merah hari ini iaitu mukim Telok Mas (96 kes) dan Jasin (92 kes) sementara mukim Cheng (35 kes) pula berada dalam zon jingga.

Sebelas daripada 31 mukim di daerah Alor Gajah, 24 daripada 29 mukim di daerah Melaka Tengah dan 11 daripada 21 mukim di daerah Jasin berada di dalam zon kuning hari ini.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3337 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Selangor mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 1036 kes dan diikuti oleh Johor yang mencatatkan 460 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.