14 JANUARI 1641 (ISNIN)
PADA hari ini dalam tahun 1641, Melaka jatuh ke tangan Belanda. Berikutan itu, maka tamatlah penaklukan Portugis ke atas Melaka semenjak tahun 1511.
Kejayaan kepada penaklukan Melaka tersebut adalah hasil daripada serangan yang berterusan oleh tentera Belanda ke atas Melaka mulai tahun 1640.
Serangan tersebut dilakukan atas arahan Antonio Van Dieman iaitu Gabenor Jeneral Belanda di Betawi dengan bantuan Kerajaan Melayu Johor.
Sultan Johor memberi bantuan dengan menghantar 40 buah perahu perang yang membawa seramai 1,500 orang tentera di bawah pimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil.
Tentera-tentera Belanda diketuai oleh Jacop Koper dan Andriaan Antonisz mengadakan kepungan selama beberapa bulan ke atas Melaka sehingga menyebabkan timbulnya masalah kekurangan makanan, dan memudahkan serangan Belanda ke atas Melaka.
Kejatuhan Kota Melaka ini merupakan titik tolak kepada usaha perjuangan mempertahankan tanah air. Rintangan dan dugaan yang telah dihadapi sewaktu dijajah menyemarakkan semangat perjuangan sehinggalah negara mencapai kemuncak kejayaan iaitu kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Skrip: Nurzuliana Kamaruzaman / Arkib Negara Malaysia
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia