Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka : Terbaru – Kluster dialisis Malim

892
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 13 Jan : Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasmi jabatan itu petang tadi mengisytiharkan kewujudan satu kluster baharu iaitu Kluster Dialisis Malim.

Menurut JKNM, kes bermula apabila seorang Pengurus Pusat Dialisis disahkan positif pada 7 Januari lepas melalui saringan bergejala.

Tambah JKM lagi, sehingga kini jumlah yang telah disaring bagi kluster ini ialah seramai 75 orang, di mana daripada jumlah itu seramai 13 orang disahkan positif, tiada negatif, sementara 62 lagi masih menunggu keputusan saringan.

Selain itu, JKNM turut memaklumkan bahawa kluster yang masih aktif di Negeri Melaka sehingga hari ini ialah Kluster Dialisis Malim (terbaru), Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas dan Kluster Anak Air termasuk juga Kluster Jalan Harapan yang merupakan kluster negeri lain yang melibatkan Melaka.

Sementara itu bagi kes positif baharu untuk hari ini, JKNM melaporkan sebanyak 72 kes direkodkan di negeri Melaka di mana 71 daripadanya adalah daripada kes tempatan manakala satu lagi adalah daripada kes Import B yang melibatkan ketiga-tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Berikut adalah perincian kes dinyatakan di dalam poster infografik di bawah ini:

Tambah laporan itu lagi, sebanyak 365 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk 10 kes ICU sementara tiga kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Laporan itu juga menyatakan tiga mukim masih berada di dalam zon merah hari ini iaitu mukim Machap (233 kes), Telok Mas (96 kes) dan Jasin (92 kes) sementara mukim Cheng (32 kes) pula berada dalam zon jingga.

Sembilan daripada 31 mukim di Daerah Alor Gajah, 23 daripada 29 mukim di Daerah Melaka Tengah dan 10 daripada 21 mukim di Daerah Jasin berada di dalam zon kuning hari ini.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 2985 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Selangor mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 837 kes dan diikuti oleh Johor yang mencatatkan 535 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.