Home Artikel PAS Melaka

Get it done’! Bagi jadi! Kasi jadi! – Ketua Menteri Melaka

262
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

HANG TUAH JAYA, 12 Jan: Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata semua penjawat awam di negeri ini harus faham bahawa tahun ini adalah tahun perlaksanaan.

“Mustahaknya tahun ini, saya mahukan segala apa yang telah kita rancang, kita mesti pastikan semuanya dilaksana. Atau dalam bahasa mudahnya, ‘get it done’! Bagi jadi! Kasi jadi!

“Maksud saya, ‘get it done, bagi jadi, kasi jadi’ ini adalah, segala apa polisi, inisiatif dan program yang telah kita rancang, mestilah benar-benar dilaksanakan dengan berkesan, menyentuh denyut nadi, hinggakan impak manfaatnya dirasai langsung kepada rakyat Melaka,” ujar beliau bersemangat.

Ketua Menteri Melaka itu berkata demikian dalam ucapannya yang bertema ‘Melakar Wajah Baharu Perkhidmatan Awam Negeri Melaka’ itu di hadapan lebih 400 orang penjawat awam yang menghadiri perhimpunan ini di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, semalam.

Perkara itu adalah salah satu daripada tujuh amanat penting beliau kepada penjawat awam Negeri Melaka itu yang mana ia dilihat sebagai satu komitmen beliau untuk memastikan penjawat awam sentiasa memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

Keseluruhan tujuh perkara yang ditekankan Ketua Menteri Melaka itu dalam melakar wajah baharu perkhidmatan awam negeri ini ialah yang pertama, kesungguhan dan tekun dalam bekerja; kedua, perlaksanaan; ketiga hari-hari berjumpa rakyat; keempat, hasil perlaksanaan; kelima, mencapai visi Melaka Negeri Bestari; keenam, tiada alasan kelewatan dan kegagalan yang boleh mengurangkan kualiti perkhidmatan kerajaan dan ketujuh pemantauan KPI jabatan dan agensi kerajaan melalui ‘scorecard’ masing-masing.