Home Berita PAS Melaka

Kalam Murabbi DUPNM : Erti taat

1403
SHARE

بسم الله الرحمن الرحيم

TAAT bermaksud mematuhi setiap arahan ketua dalam perkara yang jelas tidak bercanggah dengan syarak. Ia merupakan rukun keenam dalam 10 rukun baiah. Betapa besar pengorbanan yang sanggup dilakukan seseorang tetap tidak akan sempurna sekiranya tidak diikat dengan ketaatan.

Taat kepada pimpinan adalah wajib sebagaimana Firman Allah surah Al-Nisa’ ayat 59,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeda pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Saidina Umar menyatakan,

Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan, dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan.

Tidak taat dalam perkara maksiat

Walau bagaimanapun, haruslah difahami bahawa ketaatan kepada pemimpin tidak mutlak. Ianya bergantung kepada ketaatan pemimpin itu kepada Allah dan Rasul. Sekiranya pemimpin itu menyuruh kepada kemungkaran, maka haram sekali-kali untuk dipatuhi.

Dalam sebuah organisasi, ketaatan kepada pemimpin adalah suatu perkara yang penting dalam memastikan sesebuah perancangan itu berjaya dilaksanakan dengan lancar.

Pendapat ketua mewakili pendapat jemaah sedangkan pendapat ahli tidak dikira melainkan ianya dipersetujui pemimpin. Pengikut tidak harus membuat kepala sendiri dalam melakukan sesuatu walaupun dia merasakan pendapatnya lebih betul daripada pendapat ketuanya.

Setiap anggota jemaah mesti bersedia untuk membasmi keegoan akademik dan keegoan senioriti demi memastikan prinsip ‘dengar dan taat’ dapat dilaksanakan dengan baik, seterusnya memulangkan kesan yang sangat positif untuk memastikan kelancaran gerak kerja.

Taat bukan diktator

Ketaatan kepada pemimpin tidak menghalang seseorang untuk melontar pendapat atau menegur kesalahan pemimpin. Tetapi haruslah perkara tersebut berlaku dalam ruang yang dibenarkan syarak, antaranya:

1) Meminta izin untuk memberi pendapat.

2) Beradab dan tidak meninggikan suara.

3) Tidak menegur secara terbuka.

4) Bertanya dahulu sebab dan justifikasi arahan pemimpin tersebut.

5) Tetap menerima arahan pemimpin walaupun pandangannya tidak diterima.

Wala’

Selain daripada dengar dan taat, umat Islam perlu memiliki sifat Wala’ kepada jemaah dan pimpinan iaitu setia. Kesetiaan adalah sifat yang lebih tinggi daripada taat. Wala’ mengandungi elemen:

1) Dengar: Mendengar sebarang nasihat, teguran, arahan pemimpin tanpa sebarang perasaan negatif.

2) Taat: Patuh setiap perintah dan larangan walaupun bercanggah dengan pendapat peribadi.

3) Hormat: Menyanjung dan meraikan adab-adab tanpa mengira taraf dan keturunan.

4) Percaya: Memperakui bahawa keputusan ketua adalah yang terbaik.

5) Sayang: Mengasihi, membantu, serta sanggup melakukan apa sahaja demi kesejahteraan jemaah dan pemimpin.

Firman Allah dalam Surah Al Maidah ayat 55 dan 56,

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (56)

“Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.”

Wallahu a’lam.

Moga bermanfaat!

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2021.

Siiru a’la barakatillah.

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah

Sumber : Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka