8 JANUARI 1985 (SELASA)
PADA hari ini dalam tahun 1985, Kerajaan Negeri Melaka mengiktiraf sebuah makam lama di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, Melaka sebagai makam pahlawan Melayu, Hang Tuah.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rahim Tamby Chik, pengiktirafan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa dokumen sejarah yang diperolehi, menyatakan Laksamana Hang Tuah dikebumikan di Tanjung Kling.
Menurut Sejarah Melayu, naskah tulisan Tun Seri Lanang yang dianggap sahih di dalam pengkisahan Sejarah Melayu, Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Keling dengan penuh adat istiadat dan Nobat Diraja tidak dimainkan selama tiga hari.
Menurut Datuk Seri Rahim lagi, kerajaan negeri telah mengemukakan laporan yang disediakan oleh Muzium Negeri kepada Muzium Negara untuk mewartakan makam itu sebagai salah satu tinggalan sejarah di negeri ini.
Kerajaan negeri akan memperbaiki dan mencantikkan kawasan sekelilingnya sebagai daya tarikan untuk menarik pelawat-pelawat menziarahi makam Hang Tuah ini.
Dengan pengiktirafan ini, satu lagi warisan sejarah Negara akan dapat dipelihara untuk tatapan generasi masa kini.
Skrip: Nurzuliana Kamaruzaman / Arkib Negara Malaysia
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia