Home Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah As-Saff: Siri 2

677
SHARE


📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah As-Saff: Siri 2

Ayat 2 & 3: Seruan Beramal Dengan Apa yang Dikatakan

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu perkara yang tidak kamu kerjakan.

كبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan sesuatu perkara yang tidak kamu kerjakan.

📖 Tafsir Ringkas

1. Setelah menyatakan hakikat bahawa segala makhluk di alam ini bertasbih dan memujiNya setiap masa, Allah SWT memberikan amaran kepada orang beriman tentang sifat mereka yang tidak melakukan apa yang dikatakan. Ayat ini menjelaskan tentang pengingkaran manusia terhadap sesuatu janji atau mengatakan sesuatu, tetapi ia tidak memenuhinya.

2. Ulama Salaf berpendapat ayat ini menjadi dalil wajib terhadap orang beriman agar menunaikan apa yang telah dijanjikannya secara mutlak, sama ada berkait dengan kewajipan ataupun tidak.

3. Sangat besar kemurkaan Allah SWT terhadap sikap mereka yang tidak menunaikan apa yang diperkatakannya, kerana amaran ini ditujukan buat orang yang beriman. Ini menunjukkan sikap ini bukan hanya dilakukan oleh orang yang fasiq, bahkan turut dilakukan oleh orang yang beriman.

🎀 Pengajaran:

1. Beramallah terhadap apa yang telah diperkatakan agar terselamat daripada kemurkaan Allah SWT.

2. Setiap kata mesti dikota; setiap janji jangan dimungkiri dan setiap perancangan usahakan sehingga berjaya. Jangan bertangguh dan beralasan.

3. Berdoalah kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan kita, untuk menunaikan apa yang telah diperkatakan sepanjang hidup ini, kerana hakikatnya setiap kata-kata yang dilafazkan adalah dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada diri yang berkata-kata itu. Amalkan doa berikut:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

“Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmatMU aku memohon pertolongan. Perbaikilah untukku urusanku semuanya. Dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.”

3. Rujuk dan berdampinglah dengan alim ulama supaya apa yang kita lakukan sentiasa berada di jalan yang benar dan jauh daripada mendapat kemurkaan Allah SWT.

📚 Rujukan
Tafsir Ibnu Kathir

#baca&sebar
#siritadabbursurahassaff