Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka : Jangan tambah kebencian rakyat pada ahli politik

540
SHARE

SEKITAR bulan Oktober tahun lepas saya pernah menulis satu rencana di Harakah yang berjudul ‘Fahami mesej kemarahan rakyat kepada ahli politik’. Rencana itu saya tulis selepas selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 yang telah mewujudkan gelombang ketiga Covid-19 yang terus memburuk tidak surut-surut sehingga ke saat saya menulis coretan ini.

Saya menulis rencana itu kerana saya melihat komen-komen di media sosial pada ketika itu yang menempelak orang-orang politik yang dikatakan menjadi punca kepada gelombang ketiga Covid-19 ini.

Pada masa itu saya melihat komen-komen netizen langsung tidak memihak kepada mana-mana parti. Tidak kira mana parti, asalkan orang politik akan jadi bahan cacian dan makian. Netizen secara borong melahirkan rasa marah kepada sesiapa sahaja asalkan mereka orang politik kerana mereka ini dikatakan sebagai punca berlakunya PRN Sabah sehingga membiakkan lagi wabak bahaya ini.

Beberapa hari lepas kita mendengar lagi desakan agar dilakukan segera Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Dan alasannya sudah pastilah demi rakyat, demi negara dan segala demi yang mulia-mulia. Bukan kerana orang politik nak kuasa, katanya.

Saya pun tidak pasti mengapa orang-orang politik seperti ini sedikit pun tidak mengambil pengajaran daripada apa yang baru sahaja berlaku.

Di sesetengah negara, kerjaya sebagai ahli politik dipandang rendah kerana kerenah ahli politik yang membuat rakyat nampak ianya jelik. Namun kerjaya ini tetap wujud kerana semua negara memerlukan sistem pemerintahan.

Di negara-negara seperti ini, kewujudan ahli politik dan jawatan-jawatan yang mereka pegang itu tidak menjadi satu penghormatan kepada orang ramai kerana stigma yang berpunca daripada sikap ahli-ahli politik itu sendiri.

Di negara-negara seperti ini, ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk menjadi ahli politik. Anak-anak di sekolah akan malu untuk menulis bahawa cita-cita mereka mahu menjadi ahli politik.

Adakah kita suka satu masa nanti negara kita juga memiliki rakyat yang membenci ahli politik seperti ini? Sukakah kita jika rakyat memboikot pilihan raya kerana mereka sangat benci pada ahli politik?

Jadilah ahli politik yang boleh melindungi rakyat. Yang boleh menjadi tempat berpayung dan bergantung harap rakyat. Bukan ahli politik yang menyusahkan rakyat, tapi bila bercakap semuanya demi rakyat, disandar pada rakyat. Rakyat muak!

Biarlah Covid-19 ini reda dulu. Walau pun vaksin akan sampai tidak lama lagi, namun keberkesanannya kita belum dapat pastikan lagi. Tunggulah sampai Covid-19 benar-benar dapat dibendung. Gunakan sepenuhnya otak yang dikurniakan tuhan. 

IBNU JANIE
Editor CPP Berita PAS Melaka dan WARM
Unit Berita Dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka