5 JANUARI 1971 (SELASA)
PADA hari ini dalam tahun 1971, hampir seluruh negara ditenggelami air. Perdana Menteri, YAB Abdul Razak bin Datuk Hussein mengadakan sidang kabinet tergempar dan mengisytiharkan Darurat Banjir ke seluruh negara.
Selepas sidang itu Perdana Menteri mengumumkan pelantikan dua jawatankuasa kabinet iaitu Jawatankuasa Bantuan dan Pemulihan Banjir yang dipengerusikan oleh beliau sendiri; dan Jawatankuasa untuk menaksir kerosakan dan mengkaji serta menyarankan langkah-langkah pemulihan ekonomi dan sosial.
Untuk memudahkan kerja-kerja membantu mangsa-mangsa banjir, kerajaan-kerajaan negeri juga menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa masing-masing.
Perdana Menteri mengambil berat dan daya utama melawat tempat-tempat yang ditimpa bencana. Beliau mengarahkan seluruh jentera Kerajaan memberikan bantuan makanan dan rawatan perubatan yang segera kepada mangsa-mangsa banjir itu. Lebih 100,000 orang yang terlibat dalam bencana banjir itu dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.
Peristiwa banjir besar ini adalah kejadian kali yang kedua berlaku sejak tahun 1926 dan menyebabkan bekalan makanan termasuk sayur-sayuran, ikan dan juga barang-barang keperluan dapur terputus. Dengan itu, kerajaan memutuskan untuk membuat pengisytiharan Darurat Banjir Kebangsaan.
Skrip: Nurzuliana Kamaruzaman / Arkib Negara Malaysia
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia