Home Berita PAS Melaka

Terkini : Tarian inang cilik menyambung budaya bangsa

739
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 3 Jan : Demi untuk memperkenal dan mengekalkan budaya rakyat Negeri Melaka kepada generasi muda, pihak Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah telah menganjurkan pertandingan Inang Challenge dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, pagi ini.

Seramai 13 peserta cilik iaitu enam orang peserta bagi kategori sekolah rendah dan tujuh daripada sekolah menengah telah terpilih untuk ke pertandingan akhir ini.

Semua peserta telah disaring melalui video yang mereka muat naik di Facebook seminggu sebelum ini.

Pihak penganjur menawarkan hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM500 untuk tempat pertama, RM300 untuk tempat kedua, RM200 untuk tempat ketiga, RM150 untuk tempat keempat, RM100 untuk tempat kelima, sementara hadiah saguhati ialah RM50 setiap seorang.

Untuk rekod Tarian Mak Inang dikatakan dicipta semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana tajuk lagu Mak Inang yang mengiringi tarian ini telah dititahkan ciptaannya oleh Sultan Mahmud Shah yang sangat gemarkan kesenian.

Arahan ini telah dikeluarkan oleh Sultan kepada ketua inang atau ketua dayang untuk diajar kepada para dayang bagi dipersembahkan kepada Sultan semasa majlis keramaian yang mana lagu dan tarian ini sungguh mempersonakan dan mempunyai kualiti persembahan istana.

Tarian yang juga dipanggil sebagai Tarian Si Kembang Cina ini juga dikenali sebagai Tarian Inang (versi yang lebih moden daripada tarian Mak Inang) dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian dan perkahwinan.

Pada masa berita ini ditulis, peserta-peserta sedang mempersembahkan tarian mereka untuk dinilai oleh barisan panel hakim.

Program ini dijalankan bersama dengan pertandingan Chef Cilik dan majlis penyampaian bantuan persekolahan sumbangan Yayasan Bank Rakyat peringkat Parlimen Masjid Tanah bagi tahun 2021 ini yang dijadualkan bermula pada jam 10 pagi ini.

Program Chef Cilik dan Inang Challenge ini telah dirasmikan oleh YB Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, YB Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebentar tadi seusai program kayuhan Fun Ride.

Penyampaian sumbangan bantuan persekolahan bakal disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah.