Home Berita PAS Perlis

Perkukuh Perpaduan Demi Masa Depan Islam

596
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Program forum perdana yang berlangsung pagi ini menyaksikan isu perpaduan menjadi tajuk utama perbincangan.

Seramai tiga orang ahli panel membarisi forum berkenaan yang diadakan sempena pelancaran program Kuliah Dhuha Haraki anjuran Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis.

Mereka ialah Mursyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Ustaz Ahmad Ali dan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis Ustaz Idris Yaacob sementara Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis Ustaz Muhammad Azmir Azizan pula hadir selaku pengerusi forum.

Ustaz Idris selaku ahli panel pertama menyentuh soal persaudaraan yang menurutnya, mestilah diasaskan atas kepada Islam demi memelihara kekuatan umat Islam.

Jelas beliau, umat yang kuat akan membolehkan syariat Islam ditegakkan manakala keadilan serta kebajikan rakyat pula dapat dilaksanakan.

Hak-hak masyarakat bukan Islam pula jelasnya, tetap terjamin tanpa sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.

Pandangan berkenaan turut dikongsi ahli panel kedua Ustaz Ahmad Ali yang menyatakan bahawa tugas memelihara agama serta mentadbir negara adalah amanah Allah SWT kepada umat Islam yang wajib ditunaikan dengan bersungguh-sungguh.

Justeru katanya, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memastikan perpaduan ummah dapat diusahakan agar berjaya.

Sementara itu, Tuan Guru Mursyidul Am pula membicarakan peranan syahadatain (Kalimah Syahadah) dalam menjayakan sesebuah penyatuan.

Ujarnya, sebarang bentuk perpaduan mestilah terbina atas dasar aqidah dan bukannya demi kepentingan-kepentingan duniawi yang lain.

Beliau turut menyeru semua ahli PAS agar terus istiqamah bersama-sama kepimpinan parti dalam menjayakan agenda perpaduan yang sedang diusahakan bagi merealisasikan hasrat untuk melihat sebuah umat Islam yang kuat agar negara dapat ditadbir menurut acuan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Forum perdana yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini turut disiarkan secara langsung menerusi laman facebook Dewan Ulamak PAS Perlis.