Home Kenyataan Media PAS Melaka

Perutusan tahun baharu 2021 Pesuruhjaya PAS Melaka

359
SHARE

Bismilahirahmanirahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Qur’an, yang bermaksud:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja setelah mereka) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya (dengan itu) Allah mengetahui orang-orang yang dusta (di kalangan mereka)”.
– Surah Al-Ankabut, ayat 2-3.

2020 telah pun berlalu. Terlalu singkat buat kita seluruh rakyat di Malaysia dan akan melabuhkan tirai dengan 1001 pengajaran.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat manusia sehingga akhir zaman.

Syukur kita panjatkan kepada Allah SWT yang masih memanjangkan umur kita untuk masuk ke tahun 2021.

Usia yang dipinjamkan Allah ini seharusnya dimanfaatkan sebaiknya dalam kerangka ketaatan kepada Allah SWT.

Dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih belum nampak pengakhirannya, tahun 2021 pasti akan memberikan kepelbagaian cabaran baharu.

Walaupun telah memasuki fasa pemulihan, namun peperangan menentang Covid-19 masih belum berakhir.

Tahun 2020 turut mengukir sejarah apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang di Melaka sekali gus membolehkan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan baharu gabungan Perikatan Nasional (PN) yang membabitkan UMNO, BERSATU dan PAS di Melaka.

Walaupun PAS tiada kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, gabungan membabitkan parti berkenaan adalah untuk kepentingan masyarakat keseluruhannya.

Apa yang penting adalah kepentingan Islam tidak diabaikan dan pada masa sama memberi perhatian kepada agama lain.

Kerjasama politik ini cenderung mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara khususnya dalam konteks memacu negeri Melaka.

Saya mewakili seluruh kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada semua rakyat negeri Melaka.

Kami berdoa mudah-mudahan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kita segera berakhir dan kita semua dijauhi daripada sebarang musibah. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Siiru ‘ala barakatillah

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

DATUK USTAZ KAMARUDIN HAJI SIDEK
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM)