Home Berita PAS Melaka

PAS tunjang gerakan dakwah – Bakri

463
SHARE

Oleh : Kamil Saufee

TANGGA BATU, 30 Dis: “PAS bukan sekadar satu parti politik, tetapi PAS juga menjadi tunjang dalam gerakan dakwah Islam di Malaysia.

“Kekuatan yang ada pada PAS yang mungkin tiada dalam parti lain adalah pegangan akidah Islam yang sentiasa menjadi tarbiyah dalam kalangan ahli PAS,” demikian kata Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin.

Jelasnya, apabila seseorang itu meletakkan akidah sebagai asas tapak dalam mentadbir maka segala urusan dipermudahkan oleh Allah.

“Kita lihat bagaimana seorang yang digelar ‘lebai’ diletakkan menjadi Menteri Alam Sekitar, banyak permasalahan tentang pencemaran air dapat diselesaikan.

“Dan siapa sangka dapat diwujudkan juga wakaf air di mana pada zaman sahabat dahulu pernah dilakukan,” jelas beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu.

Tambahnya lagi, perjuangan PAS ini bukan politik semata-mata, akan tetapi perjuangan akidah yang mana Islam itu perlu diletakkan di atas.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada setiap ahli PAS supaya sentiasa menjaga ukhuwah sesama ahli.

“Antara syarat untuk Allah beri kemenangan adalah mesti menjaga ukhuwah kita,” kata beliau mengakhiri ucapan perasmian Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Tangga Batu, di sini, malam tadi.

Sebelum itu, turut diadakan Kuliah Haraki yang bertajuk ‘Akidah Perjuangan’ yang telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, Ustaz Imran Abd Rahman.

Antara yang turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Pengarah Jabatan Pilihan Raya (JPrN) PAS Negeri Melaka, Bahiki Ismail, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Rafie Ahmad dan barisan ahli jawatankuasa PAS Kawasan.