Home Berita PAS Melaka

Sebaik-baik manusia yang panjang umur dan banyak kebaikannya – Ustaz Idris

818
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 29 Dis: “Orang yang terbaik di kalangan kamu adalah orang yang panjang umurnya, dan baik dari segi amalannya. Kita hendak macam itu.

“Maksudnya apabila umur kita panjang dapat menampung amalan kita banyak. Masya-Allah tuan-tuan. Ini kita hendak. Ini guna kita apabila kita minta umur kita ini panjang. Jangan apabila umur kita panjang, Allah… orang menyampah tengok kita!”

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden PAS YB Senator Ustaz Idris Ahmad ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh, Bachang, di sini malam semalam.

Menurut Ustaz Idris, beruntunglah siapa yang dipanjangkan umur dan banyak melakukan kebaikan dan amal soleh dan rugilah siapa yang dipanjangkan umur tetapi tidak banyak melakukan kebaikan tetapi yang dilakukan adalah dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

“Kena ingat tuan-tuan dalam Islam ni dinilainya di hujung, bukan di awal. Di awal okay, rekod macam-macam, tapi nilainya ialah di hujung. Pengakhiran hayat yang di hujung dunia kita. Ini yang kita hendak.

“Yelah, kalau sebolehnya kita hendaklah dari muda kita baik sampai ke tua kita baik. Jangan pula tuan-tuan anggap ‘kalau betul ustaz kami muda enjoy dulu la ustaz.’ Ha, saya tak ajar macam tu. Sesat namanya,” seloroh Ustaz Idris disambut gelak ketawa hadirin.

Tambah beliau lagi, hakikat yang perlu diterima oleh manusia, setiap yang bernyawa akan menemui ajalnya, bilakah waktunya adalah rahsia Allah SWT mengikut takdir yang ditentukan oleh-Nya.

Menurut Ustaz Idris semua orang mahukan pengakhiran hidup dalam husnul khatimah, tetapi semua itu bergantung kepada bagaimana seseorang itu menjalani kehidupan di dunia.

Katanya, ramai orang mahu ‘pergi’ dalam pengakhiran husnul khatimah, namun jika cara hidup jauh daripada zikir kepada Allah SWT, tidak mengamalkan ajaran Islam sempurna, gagal menunaikan tuntutan makna kalimah syahadah, mana mungkin akan mendapat pengakhiran hidup yang baik.

Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Idris bertajuk ‘Membina Jati Diri Muslim’ ini disiarkan secara langsung di laman Facebook Al Muraabitun Media milik Jabatan Penerangan PAS Melaka.