Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi DUPNM : Erti pengorbanan

1105
SHARE

 

بسم الله الرحمن الرحيم

PENGORBANAN bermaksud melepaskan sesuatu yang dimiliki demi sesuatu yang lain, atau tanpa apa-apa balasan. Pengorbanan yang dimaksudkan adalah menyerahkan segala-gala nikmat dunia demi menegakkan kalimah Allah swt.

Apabila seseorang Muslim berjihad di jalan Allah, sudah pasti ia akan berhadapan dengan berbagai-bagai kesusahan dan rintangan. Ini menuntut kepada pengorbanan yang tidak berbelah bahagi dalam semua yang dimiliki.

Ketahuilah bahawa amanah Allah ini sangat berat. Ia tidak akan dapat dipikul melainkan dengan kesungguhan yang tinggi. Ia juga tidak dapat dipikul melainkan dengan mengorbankan perkara yang lain. Hanya manusia yang mempunyai pengorbanan tinggi mampu mewarisi tugas para anbiya’ ini.

Allah swt telah memberi berbagai-bagai nikmat hidup di atas muka bumi samada kepada orang beriman mahupun kufur. Tetapi nikmat di akhirat adalah istimewa buat hambaNya yang beriman sahaja. Dunia hanyalah pentas ujian. Segala nikmat pinjaman Allah adalah untuk menguji samada mereka lebih sayangkan nikmat sementara atau yang kekal abadi di negeri sana.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 24,

قُلْ إِنْ كانَ آباؤُكُمْ وَأَبْناؤُكُمْ وَإِخْوانُكُمْ وَأَزْواجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوالٌ اقْتَرَفْتُمُوها وَتِجارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسادَها وَمَساكِنُ تَرْضَوْنَها أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفاسِقِينَ (٢٤)

Katakanlah, “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kalian, harta kekayaan yang kalian usahakan, perniagaan yang kalian khuatir akan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kalian sukai, adalah lebih kalian cintai daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.


Akibat bagi mereka yang tidak berkorban

1) Disifatkan sebagai fasiq (yang melakukan maksiat/mendapat dosa).

2) Diazab dengan seksaan yang amat pedih.

Firman Allah swt yang bermaksud,

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

“Wahai orang-orang yang beriman!
Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah untuk berperang di jalan Allah’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Adakah kamu lebih menyukai kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini hanyalah sedikit dibandingkan dengan kehidupan di akhirat. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah akan menghukum kamu dengan azab yang pedih dan menggantikanmu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan merugikan Allah sedikit pun. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

(Surah At-taubah ayat 38-39)


Bentuk pengorbanan

Pendokong dan pejuang yang berjiwa besar hendaklah bersedia untuk berkorban demi memastikan Islam diletakkan di tempat yang tinggi lagi mulia. Antara bentuk-bentuk pengorbanan yang dituntut:

1) Peribadi: Berkorban apa sahaja termasuk urusan pasangan, keluarga, cita-cita dan sebagainya.

2) Tenaga: Sanggup menjadi jentera, bersengkang mata dengan kerja-kerja jemaah, menyampaikan kuliah tidak kira waktu.

3) Perasaan: Tidak kisah walau dibenci, marah, sedih, kecewa dan sebagainya.

4) Harta: Menginfaqkan segala harta benda.

5) Masa: Melaksanakan kerja-kerja jemaah sepenuh masa bukannya sebagai kerja sampingan walaupun padat dengan jadual peribadi.

6) Pemikiran dan Kepakaran: Bijak mengatur strategi, memikirkan tentang hala tuju jemaah dan permasalahan jemaah, melontarkan pendapat yang bernas serta menyumbangkan segala kemahiran yang dimiliki untuk kepentingan jemaah.


Contoh-contoh pengorbanan

1) Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

– Nabi Ibrahim telah diperintahkan oleh Allah melalui mimpi supaya menyembelih anak Baginda, Ismail yang berumur 13 tahun ketika. Kedua-duanya dengan penuh ketaatan menjalankan perintah tersebut demi mendapatkan keredaan Allah.

2) Peristiwa Peperangan Tabuk

– Pengorbanan Saidina Abu Bakar As-Siddiq menginfaqkan seluruh hartanya tidak dapat ditandingi oleh para sahabat yang lain.

3) Pengorbanan Sahabiah Untuk Islam

– Al Khunsa’ yang telah mengorbankan tiga orang anak lelakinya, satu demi satu anaknya gugur di medan jihad Palestin.

Kesimpulannya, pengorbanan itu bukan sesuatu yang mudah. Namun, harus diingat di sebalik pengorbanan itu pasti terselit kemanisan di penghujungnya. Kita sebagai ahli gerakan Islam lebih-lebih lagi hendaklah sentiasa bersedia berkorban dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan.

Moga bermanfaat!

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Negeri Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka (DUPNM)
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah