Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Tentera Inggeris berundur dari Kuching

530
SHARE

25 DISEMBER 1941 – KHAMIS

PADA hari ini dalam tahun 1941, tentera Inggeris berundur dari bandar Kuching, Sarawak setelah bandar itu ditawan oleh tentera Jepun.

15 buah kapal terbang pengebom Jepun mula mengebom Kuching pada 19 Disember 1941. Jepun memasuki Perang Dunia Kedua pada 7 Disember 1941 dan melancarkan serangan serentak ke Asia Tenggara.

Di Sarawak, Inggeris memutuskan untuk mempertahankan bandar Kuching daripada serangan tentera Jepun. Inggeris mengatur strategi peperangan dengan membinasakan kawasan minyak di Miri dan Seria serta merosakkan Lapangan Terbang Miri.

Setelah itu mereka bergerak meninggalkan Miri untuk ke Kuching. Pada 16 Disember 1941, tentera Jepun mendarat di Miri dan Seria dan pada 19 Disember 1941, kapal terbang pengebom Jepun mula menyerang dan mengebom bandar Kuching mengakibatkan kerosakan di bandar itu.

Dari Miri, tentera-tentera Jepun terus belayar menuju ke Kuching pada 22 Disember 1941. Inggeris yang gagal mempertahankan bandar Kuching, terpaksa berundur ke Kalimantan Utara.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia

Gambar hiasan. (Kredit foto : Google)