Home Berita PAS Melaka

Jelajah 100 hari PAS dalam kerajaan Melaka perjelas hala tuju PAS

434
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 23 DIS: Sebagaimana kelaziman mana-mana organisasi, tempoh 100 hari pertama akan dijadikan tempoh masa rujukan untuk melaporkan prestasi segera yang telah dicapai bagi setiap kepimpinan baharu.

Tempoh ini akan menjadi tanda aras hala tuju sesebuah organisasi dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Melaka tidak terkecuali untuk melaporkan perkara tersebut di mana siri Jelajah 100 Hari PAS di dalam Kerajaan Negeri Melaka diadakan di semua peringkat kawasan bagi memperjelas hala tuju PAS.

Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek yang hadir sebagai tetamu utama ucaptama dalam program ini menggesa agar kekuatan generasi muda dan pengalaman generasi terdahulu digunakan sebaiknya agar menatijahkan manfaat buat ummah dan Islam.

Beliau turut menerangkan tugas sebagai pimpinan pada sesi ini dan peranan yang mesti dibawa kepada masyarakat agar ahli yang dipilih tidak lari daripada dasar perjuangan Islam.

Siri Jelajah 100 Hari PAS di dalam Kerajaan Negeri Melaka bagi peringkat Kawasan Kota Melaka yang tertangguh disebabkan pandemik Covid-19, diadakan di Pusat Tarbiah Dakwah Mahmudiah, Jambatan Duyong, di sini malam tadi.

Program tersebut dihadiri lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada pimpinan Dewan Harian Perhubungan PAS Negeri Melaka, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kota Melaka, Ahli Jawatankuasa Dewan Harian Dewan-Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak, wakil PAS daripada kalangan Sidang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dun Duyong dan Telok Mas serta Ahli jawatankuasa masjid dan surau PAS di dalam DUN ini.

Sebelum itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof telah memberi taujihat kepada para pimpinan melalui ucapan aluan beliau dan turut memohon maaf atas ketidakhadiran Yang Dipertua PAS kawasan, Abdul Ghapar Abdul Wahab disebabkan masalah kesihatan.

“Terdapat lapan perkara dalam beribadah, di antaranya, niat yang betul dan ikhlas dalam melakukannya untuk mencapai mardhatillah.

“Lebih banyak dan sukar ibadah yang kita lakukan, lebih besar ganjarannya. Lebih sukar program atau taklifan yang diberikan pada kita, lebih banyak ganjaran yang kita perolehi,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam program ini adalah Ketua Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Kawasan Kota Melaka, Azmi Aziz yang berkongsi fakta bahawa 93 peratus manusia di dunia kini menggunakan telefon mudah alih sebagai alat penghubung yang utama lantas memudahkan manusia untuk mengetahui sesuatu perkara dengan cepat.

“Kepesatan teknologi ini mesti digunakan untuk menjayakan gerak kerja penerangan PAS,” sambungnya lagi.

Program yang bermula selepas Isyak malam tadi berakhir dengan sesi soal jawab dan selesai menjelang jam 11.00 malam di mana para peserta berpuas hati kerana mendapat maklumat yang jelas dan terus daripada para pimpinan.