Home Berita PAS Melaka

PAS, BERSATU Kota Melaka jalin silaturrahim.

702
SHARE

Oleh : Siti Salwani Mohd Kassim.

KOTA MELAKA, 20 Dis : Bertempat di Hotel Bendahara, telah berlangsung satu majlis santai ramah mesra dua parti Melayu Islam iaitu PAS Kawasan Kota Melaka dan BERSATU Bahagian Kota Melaka.

Antara tujuan pertemuan ini adalah untuk berta’aruf dan membincangkan gerak kerja bersama di bawah panji-panji Perikatan Nasional (PN) ke arah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof, kerjasama yang dijalin ini bukan hanya di dalam politik tetapi juga di dalam jalan dakwah.

Sambil mengucapkan terima kasih di atas jemputan parti BERSATU ke majlis ini, Zuhaidi mengharapkan agar kedua-dua parti dapat meneguhkan perpaduan rakyat dan terus bergerak menjalankan tanggungjawab menjaga kemakmuran Malaysia.

Menyifatkan pertemuan pertama ini amat bermakna, beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Melaka optimis PAS akan memberi kerjasama penuh dalam gerak kerja pilihan raya.

“Diharapkan selepas ini akan ada lagi siri-siri pertemuan bagi membincang dan merencana program mendekati rakyat sementelah pilihan raya yang semakin hampir,” sambungnya.

Terdahulu, Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Mejar Bersekutu (PA) Datuk Hishamuddin Abd Karim di dalam ucapan alu-aluannya menerangkan peri kepentingan kerjasama ini memandangkan tarikh PRU 15 yang dijangka akan berlaku dalam masa terdekat.

Hishamuddin yang juga merupakan Penyelaras Bersatu bagi Parlimen Kota Melaka menambah lagi, sebagai parti memerintah bersama di dalam Perikatan Nasional, kesusahan rakyat mesti difahami.

“BERSATU dan PAS harus berkolaborasi di dalam kerja-kerja mendekati dan menyampaikan bantuan kepada golongan B40 supaya gerak kerja lebih sempurna dan seiring.

“Antara bantuan yang akan diberikan termasuk Bakul Makanan berjumlah 100 buah, satu juta pelitup muka yang akan diedarkan ke masjid-masjid dan set kelengkapan sekolah.

“Pengerusi PTPTN juga telah memaklumkan untuk memberi peruntukan sebanyak lima ribu ringgit yang akan disalurkan kepada pelajar-pelajar dalam kalangan keluarga B40 dalam bentuk kelengkapan sekolah. Pihak kami masih mengumpulkan dana daripada MAIM”, tambahnya.

Jawatankuasa teknikal akan dibentuk di peringkat kawasan antara kedua-dua parti ini setelah terbentuknya jawatankuasa teknikal di peringkat Perhubungan Negeri.

Perincian terhadap gerakerja akan dibincangkan dan diperhalusi di dalam pertemuan yang akan datang.

Majlis itu dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi kedua-dua parti selepas alunan lagu Negaraku oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Dewan Harian PAS dan BERSATU.

Di akhir pertemuan, kedua-dua pihak bersetuju bahawa penguasaan Melayu Islam melalui kemenangan di DUN bertanding adalah sangat penting demi kelangsungan politik Melayu.