Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi DUPNM : Ikhlas

462
SHARE

Bismillah…

Firman Allah di dalam surah Al-Bayyinah: ayat 5:

وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين..إلخ

Maksudnya: “Tidaklah Aku memerintahkan apa-apa melainkan untuk kamu mengabdikan diri padaKu dalam keadaan ikhlas.”

Ikhlas bermaksud bersih daripada sebarang perkara. Apa yang dikehendaki dengan ikhlas di sini ialah amalan semata-mata mencari keredaan Allah tanpa dicampuri dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri oleh keinginan nafsu, harta, kemasyhuran dan sebagainya.

Ramai orang yang tersalah faham antara maksud ikhlas dan tulus. Ikhlas adalah niat kerana Allah sedangkan tulus bermaksud tiada niat terselindung. Oleh itu, ikhlas hanya boleh dilakukan oleh orang Islam dan dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syarak.

Setiap amalan yang diterima Allah hendaklah menepati dua syarat berikut iaitu:

1) Ikhlas dan membetulkan niat

2) Bertepatan dengan sunnah dan syarak

Ikhlas adalah amalan hati. Ianya tidak boleh dinilai mana-mana manusia. Setiap amalan yang dilakukan, Allah akan melihat hati terlebih dahulu. Jika ikhlas, barulah dilihat perbuatan zahir.

KEPENTINGAN IKHLAS

1) Mendidik jiwa yang kental

-Apabila seseorang itu hanya mengharap kepada Allah, dia tidak kisah sekiranya perjuangan menegakkan agama Allah tidak dijanjikan kemewahan, harta, pangkat dan lain-lain

2) Sanggup berkorban apa sahaja

– Keikhlasan mengajar seseorang mengeluarkan segala rezeki yang Allah kurniakan untuk digunakan di jalan agama-Nya. Mereka memahami bahawa harta, darjat, kedudukan dan nyawa tiada nilai jika dibandingkan dengan reda Allah

3) Mendekatkan diri kepada Allah

Dengan ikhlas, kebergantungan hidup seseorang akan lebih tinggi kepada Allah dan akan melepaskan diri daripada mengharap selain daripada Allah

4) Membebaskan diri daripada godaan syaitan

– Iblis berikrar dan berjanji mengganggu seluruh anak Adam melainkan golongan yang ikhlas

5) Syarat kepada kemenangan Islam

– Allah mengurniakan kejayaan menegakkan Islam apabila perjuangannya itu ikhlas tanpa sebarang niat terselindung. Jika masih ada golongan yang belum ikhlas dalam perjuangan, maka kemenangan tersebut tertangguh sehingga pejuang Islam benar-benar berjuang ikhlas kerana Allah

CARA-CARA IKHLAS

1) Banyakkan berdoa
2) Ingat mati
3) Buat amal ketika orang tidak nampak
4) Banyakkan bersedekah
5) Bersederhana
6) Tidak terlalu memikirkan dunia

Kesimpulannya, diharapkan kita semua dapat mentajdidkan niat agar setiap amal perbuatan yang dilakukan ikhlas kerana Allah. Berusahalah mendidik diri menjadi seorang yang ikhlas melakukan gerak kerja Islam khususnya kerana golongan ini akan mendapat reda dan ganjaran daripada Allah SWT.

Siiru a’la barakatillah!

Rujukan: Nadi Perjuangan

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah

Kredit : Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka