Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi DUPNM : Tasawwur Islam

928
SHARE

Bismillah…

TASAWWUR bermaksud gambaran iaitu cara kita melihat agama Islam. Gambaran Islam perlu jelas dalam fikiran kita sebagai pendakwah supaya kita faham tentang Islam, tentang apakah Islam yang kita perjuangkan.

Islam adalah Addin, cara hidup, way of life yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk hubungan sesama manusia, dan sesama ciptaan yang lain.

Antara beberapa ciri-ciri keistimewaan Islam yang berbeza dengan agama dan ideologi lain adalah:

1) Rabbaniyyah

-Islam ialah ajaran yang datang daripada Tuhan. Ajaran Islam bertujuan meletakkan manusia pada reda Allah dan selamat di akhirat kelak.

Seluruh ajaran yang terdapat dalam Islam adalah daripada Allah. Semua peraturan kehidupan kita diatur oleh Allah dan kita perlu melakukannya walaupun kita lihat tidak sesuai atau tidak ada faedah.

Firman Allah SAW:-

(وَمَاۤ أُمِرُوۤا۟ إِلَّا لِیَعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخۡلِصِینَ لَهُ ٱلدِّینَ )

[Surah Al-Bayyinah 5]

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid.”

2) Insaniyyah

-Islam adalah agama yang memberi pengiktirafan kepada manusia. Walaupun Allah telah menetapkan peraturan dan tujuan, tetapi Allah muliakan manusia dengan memberi peluang untuk berfikir, memilih dan melakukan apa yang dikehendaki mengikut kadarnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Surah At-Tin ayat 4, “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

3) Syumul

– Islam adalah suatu ajaran meliputi semua aspek samada jasad, akal mahupun roh. Ia menyusun hubungan sesama manusia, sesama makhluk lain dan antara manusia dengan Allah.

Firman Allah SWT:

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱدۡخُلُوا۟ فِی ٱلسِّلۡمِ كَاۤفَّةࣰ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَ ٰ⁠تِ ٱلشَّیۡطَـٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوࣱّ مُّبِینࣱ)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

[Surah al-Baqarah: Ayat 208]

4) Wasatiyyah

– Wasatiyyah bermaksud pertengahan ataupun adil, iaitu tidak terlalu lembut dan tidak juga terlalu keras. Ini sesuai supaya semua golongan merasa selesa dengan Islam.

Dari sudut akidah sebagai contoh, Islam tidak seperti ajaran agama lain yang terlalu mementingkan hubungan dengan Tuhan sehingga mengabaikan hubungan sesama makhluk. Juga Islam tidak seperti ideologi moden sekarang yang terlalu mengejar dunia sehingga melupakan hubungan dengan Tuhan.

Firman Allah SAW:

(وَكَذَ ٰ⁠لِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةࣰ وَسَطࣰا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَاۤءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَیَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَیۡكُمۡ شَهِیدࣰاۗ وَمَا جَعَلۡنَا ٱلۡقِبۡلَةَ ٱلَّتِی كُنتَ عَلَیۡهَاۤ إِلَّا لِنَعۡلَمَ مَن یَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن یَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَیۡهِۚ وَإِن كَانَتۡ لَكَبِیرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِینَ هَدَى ٱللَّهُۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِیُضِیعَ إِیمَـٰنَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفࣱ رَّحِیمࣱ)
[Surah Al-Baqarah 143]

Maksudnya:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

5) Waqiiyyah

-Waqiiyyah bermaksud Islam adalah agama yang mengambil kira peredaran masa dan perubahan tempat. Islam sesuai bagi semua keadaan dan semua masa tidak pada zaman Nabi, zaman khalifah mahupun zaman demokrasi moden hari ini. Oleh kerana itulah berlaku perbezaan mazhab dalam Islam. Justeru itu, kita tidak haruslah menuduh bahawa mazhab kita sahaja yang betul dan orang lain salah kerana semuanya adalah daripada ajaran Islam.

6) Jelas & Mudah

– Ajaran Islam bersifat jelas dan mudah difahami oleh seluruh lapisan manusia. Agama Islam tidak perlu kepada peralatan yang cangguh atau tempat yang selesa untuk difahami. Walaupun di dalam hutan tanpa sebarang bangunan, ia tetap boleh difahami dan diamalkan.

7) Tetap & Fleksibel

– Antara keistimewaan Islam juga adalah terdapatnya perkara-perkara yang tetap yang tidak boleh berubah-ubah hukumnya, dan ada pula perkara yang boleh berubah-ubah.

Terdapat hukum hakam yang jelas telah digariskan oleh Allah di dalam Al Quran dan Hadith. Perkara ini adalah perkara tetap yang tidak boleh berubah contohnya pengharaman riba dan sebagainya.

Demikianlah ciri-ciri keistimewaan Agama Islam yang sangat berbeza dengan agama lain. Daie haruslah memahaminya dan terus mempelajari cabang-cabang Islam yang pelbagai untuk memantapkan kefahaman tentang Islam dan ajarannya. Di atas hanyalah beberapa contoh bagi membentuk pemikiran kita bahawa Islam ini sangat unik dan hebat dan selain Islam tidak akan membawa kepada apa-apa kebaikan.

Moga bermanfaat!

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka
Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
YDP PAS Kawasan Masjid Tanah

Kredit : Facebook rasmi Dewan Ulamak PAS Melaka