Home Berita PAS Melaka

Pena Kaunselor – Awasi ketagihan gajet

861
SHARE

Oleh : Abu Harith

PADA hari ini, istilah gajet digunakan secara meluas. Terutamanya apabila dunia dilambakkan dengan pelbagai bentuk gajet yang memenuhi citarasa pengguna.

Menurut Collins Cobuild English Dictionary, ‘gadget‘ didefinisikan sebagai ‘a small machine or device which does something useful’.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka pula, padanannya yang tepat bagi istilah gajet dari segi makna, konsep, proses dan keadaan atau cirinya dalam bahasa Melayu adalah disebut sebagai ‘alat’.

Sekilas pandang gajet dan internet memberikan banyak perubahan terutama kepada gaya hidup yang banyak bersandarkan kepada teknologi, sehinggakan telah mewujudkan satu bentuk budaya dan cara hidup baharu.

Hal ini menyebabkan wujudnya segelintir individu yang menjadi semakin taksub dengan penggunaan teknologi, internet ataupun gajet. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan gajet mempunyai banyak kebaikan dan memudahkan urusan seharian terutama dalam urusan komunikasi, menyiapkan tugasan, alat pembelajaran atau penghantaran dokumen secara pantas.

Berdasarkan statistik Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC), jumlah pengguna internet di Malaysia pada tahun 2010 mencecah 16.9 juta orang.

Di Malaysia, antara rangkaian sosial yang paling popular ialah laman sosial seperti Facebook dengan catatan kira-kira 6.2 juta pengunjung. Jika diukur kadar penggunaannya sekarang, adalah diyakini bahawa jumlah ini pastinya semakin meningkat terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlangsung. Masa bersama gajet semakin banyak berbanding melakukan aktiviti lain.

Satu kerisauan terhadap perkara ini ialah bagaimana ia boleh menimbulkan ketagihan gajet di kalangan semua lapisan umur. Satu situasi yang cukup merungsingkan jika tidak diurus dan diatasi dengan bijak.

Ketagihan ini boleh ditakrifkan apabila seseorang individu itu banyak menghabiskan masa bersama gajet berbanding perkara lain sehinggakan sukar untuk dipisahkan. Selain itu juga, mereka yang ketagihan gajet ini lebih suka berdamping bersama gajet berbanding terlibat dengan aktiviti fizikal yang lain, kurangnya interaksi bersemuka ataupun berkomunikasi dengan orang sekeliling.

Sekiranya kadar penggunaan, pemilihan masa yang sesuai dan limitasi kepada penggunaan gajet dapat dikawal, pastinya gajet boleh menjadi satu alat yang sangat efektif untuk meningkatkan produktiviti dan sangat membantu memudahkan urusan manusia.

Sesungguhnya setiap alat yang dicipta itu pasti mempunyai baik dan buruknya bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya. Ibarat sebilah pisau, jika diberi kepada seorang penyembelih, pastinya ia digunakan sebagai alatan untuk menyembelih binatang. Namun, jika jatuh ke tangan seorang penjenayah, maka sudah pasti pisau itu akan menjadi alat membantunya melakukan jenayah.

Kesedaran tentang kesan buruk akibat ketagihan gajet ini perlu terus dipertingkatkan terutamanya kepada golongan dewasa yang banyak mempengaruhi kanak-kanak untuk turut sama menggunakannya.

Ibu bapa seharusnya tidak menjadikan gajet sebagai satu alat untuk menyogok anak-anak agar duduk dengan diam. Elakkan menjadikan gajet sebagai pilihan utama sebagai hadiah atas kejayaan anak-anak dan menunjukkan tingkahlaku serta contoh teladan yang baik dalam kadar penggunaan gajet.

Kembalikan semula masa berkualiti keluarga dengan gelak ketawa, bergurau senda dan saling berkongsi cerita sebagai satu suasana yang paling indah buat anak-anak. Kita mampu berubah sebelum semuanya parah.

Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar