Home Artikel PAS Melaka

Bajet 2021 lulus, masa untuk bela rakyat – Ustaz Imran

328
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 27 Nov : Selepas selesai Belanjawan 2021 ini diluluskan bermakna bermulalah masa untuk membela rakyat dan bukan masa untuk berpolitik, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Menurut beliau tindakan sebahagian daripada Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menentang Rang Undang-undang Perbekalan 2021 itu memang harus dipuji kerana menunjukkan kematangan dalam membuat keputusan.

“Memang perkara biasa sebagai orang politik pembangkang akan sentiasa tak setuju dengan kerajaan. Kerajaan pula biasa tak dengar cakap pembangkang.

“Tapi apa yang berlaku kali ini lain. Masing-masing menunjukkan sikap matang. Masing-masing faham kalau bajet ini tidak diluluskan yang susah adalah rakyat,” ujar beliau lagi.

Ustaz Imran yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka bagaimana pun kesal dengan tindakan 13 orang Ahli Parlimen pembangkang yang cuba untuk menggagalkan kelulusan Bajet 2021 itu semalam.

“Dalam ramai-ramai yang telah pun bersikap matang dan meletakkan rakyat di hadapan ada pula 13 orang Ahli Parlimen ini yang masih bersikap tidak matang.

“Masa rakyat tengah susah mereka masih nak berpolitik lagi. Kalau bajet ini gagal diluluskan bagaimana barisan hadapan Covid-19 akan dapat pembiayaan?

“Adakah mereka suka tengok rakyat menderita? Adakah mereka gembira jika berjaya menggagalkan kerajaan tapi rakyat sengsara?” kata Ustaz Imran.

Tambah Ustaz Imran lagi ahli politik seperti ini wajar ditolak dalam pilihan raya akan datang kerana golongan seperti ini akan berpolitik tidak kira masa dan situasi.

Ustaz Imran berkata demikian ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)