Home Artikel PAS Melaka

Kalam murabbi : Faham – rukun baiah yang pertama

343
SHARE

Erti faham

FAHAM bermaksud kefahaman tentang tasawwur agama Islam itu keseluruhannya melalui sumber Islam yang sebenar iaitu Al Quran dan Hadis.

Untuk melakukan sesuatu amalan, seseorang Muslim hendaklah memahami amalan yang ingin dilakukan termasuk rukun, syarat dan perkara yang membatalkan.

Memiliki suatu kefahaman Islam yang sahih, sempurna dan sejahtera menjadi syarat wajib kepada seorang pendakwah. Ini kerana matlamat gerakan Islam ialah menegakkan agama Islam dan menyebarkannya kepada masyarakat

Kata Ulama’:

“Orang yang tidak mempunyai sesuatu, tidak boleh memberi.”

Oleh itu, Imam Hassan Al Banna meletakkan faham disenarai pertama 10 rukun yang wajib ada pada seseorang yang menyertai gerakan Islam. Islam tidak akan diterima jika apa yang disampaikan oleh kita cacat cela, menyeleweng atau salah serta tidak mengikut kehendak Islam yang sebenar.


Kelebihan faham

1) Penerimaan amalan – Setiap amalan akan diterima apabila memenuhi dua syarat berikut iaitu ikhlas dan mengikut cara yang betul.

2) Dijauhi syaitan

3) Dimuliakan oleh Allah

Hadis Rasulullah saw:-

“Sesiapa yang Allah kehendakinya memperoleh kebaikan, dia akan diberi kefahaman tentang agama.”

HR Bukhari

4) Meletakkan setiap perkara pada tempatnya

5) Mewujudkan Wehdah Al Fikr & Wehdah Al Amal Dalam Jamaah

Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 103:

‎وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Maksudnya : “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.”

6) Mengelakkan kesesatan

Hadis Rasulullah saw:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh (memahami & beramal) dengan keduanya, iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi saw”

HR Malik


Belajar asas kefahaman

Untuk memilik kefahaman yang sempurna, seseorang mesti rajin belajar tentang agama Islam. Hendaklah sentiasa menambah pengetahuan tentang cabang-cabang ilmu Islam tanpa mengira had umur. Ia hendaklah mendalaminya secara sistematik dan berperingkat melalui guru yang mursyid.

Kerana itulah Imam Hassan Al Banna menitikberatkan soal usrah. Di dalam usrah inilah kefahaman ahli jemaah tentang Islam dan perjuangan dibentuk. Usrah ibarat nadi jamaah. Tanpa usrah, jemaah akan mati.


Faham lebih penting daripada hafal

Bagi yang berada dalam pengajian Islam, utamakan faham daripada hafal. Kerana matlamat menuntu ilmu adalah untuk mengamalkannya. Tidak guna menghafal pelbagai kitab, matan tetapi tidak memahami isinya. Oleh itu, seseorang yang faham isi Al Quran lebih mulia walaupun dia bukan hafiz Al Quran, jika dibandingkan dengan hafiz Al Quran tetapi tidak memahami Al Quran.

Justeru itu, letakkan kefahaman dahulu dalam melakukan sesuatu perkara khususnya ahli jemaah Islam agar segala gerak kerja seiring dengan kefahaman yang jelas.

Moga bermanfaat!

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• YDP PAS Kawasan Masjid Tanah

Kredit sumber : Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)