Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Syarikat Melayu beli syarikat bas Inggeris yang besar.

812
SHARE

23 NOVEMBER1959

PADA hari ini dalam tahun 1959, sebuah syarikat bas Melayu di ibu kota, Sri Jaya Transport Company Limited telah membeli dan mengambilalih sebuah syarikat pengangkutan Inggeris General Transport Company.

Syarikat General Transport adalah sebuah syarikat yang besar dan telah beroperasi selama 24 tahun di ibu kota. Sementara Syarikat Sri Jaya Transport pula sebuah syarikat yang baru ditubuhkan kira-kira 22 bulan yang lalu.

Pembelian syarikat ini mendapat sokongan kerajaan iaitu di bawah Kementerian Pengangkutan. Ini kerana galakan sentiasa diberikan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang pengangkutan.

Pembelian ini telah diumumkan serentak oleh Kementerian Pengangkutan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Sri Jaya Company, Raja Haji Sahar Shah.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya mengenai pembelian ini menyatakan bahawa ini adalah langkah tegas ke arah perlaksanaan dasar Kerajaan untuk membuka peluang yang lebih luas kepada orang-orang Melayu memasuki lapangan perusahaan pengangkutan jalan raya.

Memandangkan Sri Jaya Company adalah syarikat yang seratus peratus dimiliki oleh orang Melayu langkah ini membawa erti yang besar di mana syarikat ini akan menguasai satu perusahaan yang besar. Dengan pembelian Syarikat Pengangkutan Inggeris ini Sri Jaya Company telah menjadi syarikat pengangkutan Melayu yang terbesar di persekutuan ketika itu.

Kredit sumber : Ihsan ARKIB NEGARA MALAYSIA


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)