Oleh : Abu Hadif
JASIN, 23 Nov : Kerahan untuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir dari kalangan warga emas yang terkesan akibat banjir semalam telah disambut oleh anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Melaka.
Pagi ini bersama kekuatan seramai lapan orang anggota yang bersedia dengan mesin serta peralatan selengkapnya telah hadir dari beberapa kawasan.
Ketua Operasi Misi Bantuan Banjir JAM Melaka, Mohd Hafiz Ramlan ketika dihubungi berkata, operasi yang bermula sejak pagi tadi mensasarkan pembersihan rumah-rumah mangsa banjir dari kalangan warga emas di sekitar Kampung Tehel Parit Lampung yang banjirnya telah surut.
Menurut beliau, operasi pembersihan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana mendapat kerjasama sokongan daripada JPKK Kampung Tehel dan kehadiran pasukannya disambut baik oleh para penduduk serta menerima maklumbalas yang positif.
Tambah beliau lagi, cuaca yang baik ketika ini telah membantu melancarkan operasi pembersihan yang sedang dijalankan daripada pagi tadi dan dijangka akan berakhir sebelum senja ini.