Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Bajet 2021 – Ujian buat 222 Ahli Parlimen menghormati titah nasihat YDPA

311
SHARE

Oleh : Abu Harith

6 NOVEMBER merupakan tarikh keramat buat negara apabila Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion. Selepas sesi pembentangan bajet ini, pelbagai pihak memberikan respons yang pelbagai berdasarkan apa yang telah dibentangkan oleh beliau.

Sesi pembentangan bajet kali ini pastinya menjadi tumpuan dan paling ditunggu-tunggu semua pihak kerana selepas pelbagai episod berlaku dalam arena politik tanah air. Ramai penganalisis dan pemerhati politik berpendapat, persidangan kali ini juga sebagai titik ujian kesepakatan 222 Ahli Parlimen bagi menyokong Belanjawan 2021, khususnya dalam usaha memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat susulan penularan COVID-19 sejak awal tahun ini.

Apa yang paling menarik perhatian juga selepas sesi perbahasan bajet ini nanti ialah, adakah keseluruhan bajet ini akan mendapat sokongan daripada semua 222 Ahli Parlimen? Seperti yang diketahui umum, sepanjang dua minggu sesi perbahasan bajet yang telah berlangsung ini cukup hangat dan mendapat reaksi yang pelbagai sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Sebelum Menteri Kewangan membuat pembentangan bajet, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah pun bertitah bahawa belanjawan untuk tahun depan amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya buat petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman Covid-19.

Seri Paduka turut meminta Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Baginda untuk mereka menghentikan segera perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Seri Paduka mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini.

Walau apa pun yang bakal terjadi, inilah medan ujian kepada 222 Ahli-ahli Dewan Rakyat menunjukkan kesepakatan dan akurnya mereka terhadap titah nasihat Seri Paduka Baginda. Bagaimana pendirian mereka akhirnya terzahir juga pada hari pengundian nanti.

 

Percayalah, sikap dan personaliti seseorang yang sebenarnya hanya akan dapat dinilai apabila mereka perlu membuat sesuatu keputusan di saat genting.

Rakyat seharusnya bijak menilai situasi ini, mengenal pasti setiap Ahli-ahli Dewan Rakyat ini, adakah mereka ini layak untuk diundi lagi pada Pilihan Raya Umum akan datang ataupun tidak. Kestabilan negara hanya dapat dijamin melalui sikap Ahli-ahli Dewan Rakyat yang patuh dan hormat kepada sistem Raja Berperlembagaan.

Pilihan di tangan kita. Jadilah rakyat yang bijak. Tidak ditipu dan dipermainkan oleh ahli politik yang hanya mementingkan diri sendiri dan sering berpolitik dalam semua situasi. Ini masa untuk menilai.

Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)