Home Artikel PAS Melaka

KM Melaka turun padang tinjau sendiri hakisan ombak

253
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, Nov 22 : Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali telah turun padang untuk meninjau sendiri masalah hakisan ombak yang melanda Kampung Baru dan Kampung Telok Gong pagi semalam.

Beliau berkata bahawa siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti jika berlaku mendapan tanah yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di sebatang jalan di Kampung Baru.

“Saya tengok jalan ini mungkin tergantung dan sudah ada hakisan daripada pergerakan tanah di bawah jalan.

“Jadi saya harap perkara ini dapat diambil tindakan yang segera supaya tidak mengundang kemalangan yang mungkin keadaan cuaca tidak menentu,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, pengguna jalan raya akan menggunakan jalan raya ini siang dan malam dan keadaan akan lebih berbahaya pada pengguna pada waktu malam.

Apabila ditanya tentang parameter kedalaman mendapan tanah itu, beliau berkata pihak JPS akan membuat kajian kerana perkara ini baru sahaja dimaklumkan.

“Sebab kita baru dimaklumkan. Tunggu laporan pihak JPS dan tindakan segera akan dibuat. Insya-Allah bergantung kepada keupayaan, pertamanya kewangan oleh pihak JPS.

“Insya-Allah saya menganggap perkara ini dah selesai disebabkan Pengarah (JPS) Negeri ada di sini,” ujar beliau lagi.

Ketua Menteri seterusnya bergegas ke Kampung Telok Gong untuk melihat sendiri hakisan ombak yang teruk melanda persisiran pantai di sini.

Ketua Pengarah JPS yang turut bersama dengan mengiringi beliau memaklumkan bahawa tender baik pulih binaan tembok di persisiran pantai akan dibuka dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan selepas tender ditutup.

Sebelum itu Ketua Menteri telah turun menunaikan solat Subuh berjemaah bersama penduduk kampung di Masjid Al-Hasaniah, Kuala Sungai Baru dan mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Dr Fakeh.

Turut bersama-sama beliau ialah Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Pengerusi MTD PAS Kuala Linggi, Ustaz Azmi Sambul dan pimpinan PAS tempatan.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)