Home Artikel PAS Melaka

Sudut BMF: Ukhwah Harmoni bukti Bumiputera mampu bersaing

1116
SHARE

Oleh : Siti Salwani Mohd Kassim

BERDIRI di hadapan pintu lot tepi premis dua tingkat yang terletak di Pusat Niaga Bukit Baru Melaka ini, mata penulis terpaku pada kain rentang yang besar. “Harga Jimat, Poket Selamat”, moto menarik sesuai dengan keadaan mendesak kelembapan ekonomi di musim Covid-19 ini.

Ukhwah Harmoni Travel & Tour Sdn Bhd yang telah 12 tahun menjalankan perniagaan pelancongan dalam dan luar negara dengan tagline ‘Now Everyone Can Holiday’ itu telah melebarkan sayap dengan membuka Ukhwah Harmony Mart yang menjual 80 peratus barangan keluaran Bumiputera Muslim.

Teringat penulis sewaktu mengerjakan Umrah bersama Ukhwah Harmoni pada bulan Disember 2016 dibimbing oleh CEOnya sendiri iaitu Ustaz Haji Farid Haji Eshak. Pada masa itu Ukhwah Harmoni baru mempunyai satu premis pejabat di Taman Seri Telok Mas dan cawangan di Kota Bharu, Kelantan.

Terlihat poster maya promosi yang diterima melalui grup WhatsApp figura agamawan hebat yang bakal mengetuai perjalanan umrah, penulis terus menaiki tangga ke tingkat satu bangunan kedai di Telok Mas itu dan berjumpa pegawai bertugas.

Rezeki penulis pada hari itu dipertemukan dengan staf Uhkwah Harmoni yang ramah dan sopan, menarik hati untuk terus mendaftar. Pertemuan seterusnya adalah semasa mengikuti kursus umrah yang diberikan sendiri oleh Ustaz Farid, 30, yang mesra dan peramah di premis yang sama.

Penerangan yang jelas, bahasa yang mudah, sesi kursus yang ceria dan setiap soalan yang dilontarkan beroleh jawapan yang memuaskan membuat penulis bersama bakal-bakal jemaah lain berpuas hati dan yakin untuk terbang ke Tanah Haram bersama Ukhwah Harmoni.

Kembara Rohani di Tanah Suci bersama Ukhwah Harmoni Travel & Tour berjalan lancar dengan izin Allah. Di Makkah dan Madinah jemaah Ukhwah Harmoni diselia dengan baik walaupun pada masa itu terdapat seorang jemaah lelaki yang sakit dan seorang pakcik berusia 70an yang mengalami masalah ingatan dan sering terkeluar daripada kumpulan lalu sesat.

Masih penulis ingat berselisih dengan Ustaz Farid di hadapan pintu hotel sepulangnya dari Masjidil Haram di suatu pagi lalu ustaz memberitahu yang dia hendak membawa seorang jemaah untuk menjalani hemodialisis di hospital. Menjelang tengahari ada jemaah sesat tidak pulang hotel pula.

Keletihan jelas di wajah mutawwif muda ini tetapi beliau masih mampu mengendali dan berkomunikasi dengan baik. Situasi tidak dijangka itu menjadikan jadual ziarah terganggu sedikit. Dengan keadaan cuti persekolahan hujung tahun yang sememangnya penuh dengan jemaah dari negara-negara lain, kami telah sedia diingatkan bahawa itu adalah ujian biasa yang boleh berlaku pada mana-mana syarikat yang menawarkan perkhidmatan haji dan umrah. Namun secara keseluruhannya semua jemaah berpuashati dengan perjalanan ibadah itu.

Agen pelancongan

Sekembalinya dari tanah suci, penulis menerima pelawaan untuk menjadi Ejen Pelancongan Ukhwah Harmoni Travel & Tour yang kemudiannya dikenali sebagai Sahabat Ukhwah Harmoni. Walaupun tidak seaktif ejen lain penulis sempat juga mengikuti kursus ejen yang dibuat di luar Melaka.

Konsep berjalan sambil berkursus yang diamalkan oleh Ukhwah Harmoni meluaskan pemandangan dan mampu memberi idea pada ejen dalam meningkatkan kemahiran sebagai ejen pelancongan. Sehingga hari ini Ukhwah Harmoni telah mempunyai seramai 30 orang ejen pelancongan berdaftar yang aktif dan 10 orang pekerja tetap serta membuka cawangan baru di Johor Baharu dan Bukit Baru Melaka.

Selain pakej Haji Furada, Umrah, Korban dan Aqiqah di Tanah Suci, Ukhwah Harmoni Travel & Tour juga menawarkan pakej perkhidmatan sewa bas dan van serta pelancongan halal ke luar negara dan destinasi menarik dalam negara. Antara negara yang ditawarkan adalah Vietnam, Thailand, Indonesia, China, Korea, Turki, Mesir, Palestin, Eropah dan Negara Balkan.

Di dalam keadaan dunia dilanda wabak pandemik Covid-19 di mana negara-negara di seluruh dunia menutup sempadan masing-masing daripada kemasukan rakyat asing, Ukhwah Harmoni turut terkesan. Perniagaan pelancongan yang dibina sudah semestinya berasaskan ‘cuti’ dan ‘makan angin’.

Di suatu ketika bilamana jumlah jangkitan menurun dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikeluarkan, Ukhwah Harmoni mengambil kesempatan meningkatkan ekonomi dengan membuka semula perjalanan percutian di dalam negara namun kemunculan gelombang ketiga Covid-19 kira-kira sebulan yang lalu memaksa kerajaan menyekat pergerakan merentas negeri lalu perjalanan percutian yang telahpun penuh tempahannya terpaksa ditangguhkan.

Program kebajikan

Meskipun begitu, program rutin pemberian sumbangan Ramadan berupa barangan dapur kepada para asnaf sejak 12 tahun yang lalu tetap dilaksanakan. Menurut Ustaz Farid yang ditemui penulis kelmarin, sumbangan Ramadan 2020 ditambah dalam bentuk juadah berbuka puasa untuk frontliner seperti bubur lambuk, kurma ajwa dan air zam-zam.

“Amal bakti Ukhwah Harmoni kepada masyarakat adalah berasaskan konsep berkongsi rezeki dan membina ukhwah”, tambahnya.

Sumbangan ini sedang ditambah baik sistemnya melalui Yayasan Ukhwah Harmoni atau singkatannya YUHA yang bertindak mengumpulkan sumbangan daripada beberapa pihak untuk diagihkan pada masa-masa tertentu. Selain itu, Food Bank juga telah dibuat di Ukhwah Harmony Mart bagi membolehkan sesiapa yang memerlukan makanan untuk mengambilnya.

Menumpukan penjualan produk Muslim

Sementara perkhidmatan pelancongan ditangguhkan, Ukhwah Harmoni menumpukan perniagaan di bidang penjualan produk Muslim. Kini fikiran penulis yang melayang jauh telah kembali berada di hadapan pintu Ukhwah Harmony Mart. Melangkah masuk dengan perasaan gembira, kagum dan bangga dengan kegigihan Bumiputera Islam menceburi perniagaan yang mempromosikan keluaran Bumiputera Islam yang halal dan toyyib. Deretan rak dan produk yang disusun rapi menjadikan mart ini bakal setanding kedai serbaneka dan mini market yang telah mempunyai nama.

Selain daripada barangan runcit, premis yang mula beroperasi sejak awal bulan Julai lalu ini juga menjual makanan sejuk beku seperti aneka jenis keropok lekor, sata, pepes, sotong dan ikan salmon, durian crepe, aneka kerepek, berbagai-bagai jenis kurma, sambal kering, minuman keluaran Ukhwah Harmony Marketing sendiri dan beberapa peralatan elektronik ringan seperti plug zikir dan ruqyah serta mesin pemotong rambut.

Ukhwah Harmony Marketing lancar produk eksklusif

Kelmarin Ukhwah Harmony Marketing telah melancarkan produk eksklusifnya iaitu sabun pencuci ‘Rawdah’. Dengan moto ‘Suci, Bersih dan Wangi’, Rawdah membariskan detergen cecair pencuci baju, mandian, pencuci pinggan, cucian tangan, pembersih lantai dan peluntur. Produk yang dijamin kesuciannya ini mengandungi gabungan empat bahan iaitu pembersih, pewangi, pelembut dan anti bakteria dijangka akan mendapat sambutan di pasaran.

Rawdah boleh didapati di Ukhwah Harmony Mart bertempat di No 1, Jalan PNBBU 2, Pusat Niaga Bukit Baru Utama setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 7 malam.

Ukhwah Harmony Marketing juga membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi stokis, ejen dan sub ejen Rawdah dengan menghubungi nombor kontak yang tertera di laman rasmi Ukhwah Harmony Mart. Di samping menjana pendapatan, keberadaan Rawdah di dalam pasaran juga akan membantu meningkatkan ekonomi Malaysia amnya dan Bumiputera Islam khasnya.

Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Melaka dan ahli Grup Penulis PAS Melaka (GPPM).


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)