Home Berita PAS Melaka

Sudah ada penyumbang bahan binaan, perlu lagi sumbangan kos lain – Dr Khatijah

800
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 17 Nov : “Setakat ini seorang dermawan dari Ayer Keroh Heights sudi menderma bahan binaan untuk membina rumah itu. Namun kos binaan masih belum mencukupi dan kita perlukan sumbangan tambahan untuk upah pekerja dan sebagainya.”

Demikian dinyatakan wakil Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LLK) PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Dr. Khatijah Jumangat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang usaha PAS Kawasan Hang Tuah Jaya yang berhasrat membantu mencari sumbangan untuk membina rumah baharu untuk seorang ibu tunggal bersama enam ahli keluarganya yang kehilangan tempat tinggal apabila rumah yang mereka diami selama ini hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Bachang Baroh, di sini, pada 12 November lepas.

Khatijah memaklumkan ibu tunggal tersebut Anisah Mamat, 41, turut menerima sumbangan barang keperluan dan wang ringgit hasil derma orang ramai yang telah disampaikan semasa aktiviti ziarah pagi kelmarin.

“Puan Anisah hanya bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan sebanyak RM350 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak yang masih bersekolah, ditambah pula dia juga menjaga ibunya yang berumur 76 tahun dan sedang uzur.

“Kini mereka tinggal sementara di rumah kosong berhampiran sehingga binaan rumah siap sepenuhnya dan bagi sesiapa yang ingin menyumbang dalam bentuk wang ringgit boleh salurkan terus ke akaun Puan Anisah binti Mamat melalui bank CIMB bernombor 7616271561 dan maklumkan kepada beliau sendiri di talian 011-11057695”, kata beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Hang Tuah Jaya.

 

Tambah beliau, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Batu serta PAS Kawasan Hang Tuah Jaya akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut berkenaan kos keseluruhan pembinaan rumah bersama keluarga mangsa kebakaran pada sesi pertemuan yang lain.

Aktiviti ziarah berkenaan turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Haji Ramli Dalip, Timbalan Yang Dipertua, Puhat Bedul, Pengerusi JPKK Pengkalan Batu, Haji Rizal Idris dan Ahli Jawatankuasa PKHTJ serta pimpinan Muslimat PAS Cawangan Bachang.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)