Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Muzium Negara terima meriam besi daripada MMC Bhd

402
SHARE

17 November 1983

PADA hari ini dalam tahun 1983, Jabatan Muzium Negara dengan rasminya telah menerima sepucuk meriam besi berusia hampir seratus tahun yang dijumpai oleh pekerja-pekerja sebuah syarikat perlombongan di Selangor.

Upacara penyerahan meriam tersebut telah dilakukan oleh Pengarah Eksekutif Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), Encik Mohd. Desa Pachi kepada Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Shahrum Yub, bertempat di kawasan berhampiran pintu masuk menghala ke jalan raya baharu Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Meriam besi berukuran 76 sentimeter itu telah dijumpai pada tahun 1970, di Sungai Selangor kira-kira 72 kilometer dari Kuala Selangor berhampiran Pekan Rasa oleh pekerja-pekerja Syarikat Southern Kinta Consolidated Ltd.

Meriam itu kemudiannya dibawa ke pejabat Berjuntai Tin Mine dan diletakkan di hadapan Bangunan Pejabat Lombong itu sebelum diserahkan oleh pihak MMC kepada Muzium Negara.

Adalah dipercayai meriam tersebut telah digunakan ketika pemerintahan Sultan Abdul Samad (1859-1898), di mana baginda memerintahkan anaknya Raja Musa, mengawal Daerah Lembah Sungai Selangor, yang terdapat banyak kawasan lombong bijih timah.

Kemungkinan meriam itu juga digunakan untuk mempertahankan serangan musuh daripada mencerobohi kawasan lombong bijih timah ataupun digunakan di dalam kapal ketika mengangkat bijih timah ke Kuala Selangor.

Dengan penyerahan meriam besi itu kepada pihak muzium, diharap generasi hari ini akan dapat bersama-sama menyaksikan keunikan bahan tersebut di samping dapat menimbulkan rasa kesedaran tentang betapa pentingnya bahan-bahan sejarah tanah air dipelihara dan dihargai bersama.

Kredit sumber : Ihsan ARKIB NEGARA MALAYSIA


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)