16 November 1985
PADA hari ini 16 November dalam tahun 1985, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad melancarkan komputer pertama buatan Malaysia, Accent 2001.
Komputer peribadi ini dihasilkan buat pertama kalinya di negara ini oleh anak syarikat Melewar Corporation dengan teknologi daripada sebuah syarikat di Amerika Syarikat.
Pengeluaran komputer ini membuktikan bahawa Malaysia juga mampu mengeluarkan barangan berteknologi tinggi serta galakan penggunaan teknologi daripada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat kepada negara-negara yang sedang membangun.
Dalam upacara pelancarannya, Perdana
Menteri menyeru para usahawan di negara ini supaya lebih berani melabur dalam bidang teknologi tinggi terutamanya bidang yang belum diterokai oleh pengusaha-pengusaha lain.
Perdana Menteri juga berharap agar rakyat Malaysia akan lebih berjaya pada masa hadapan khususnya dalam penerokaan industri teknologi.
Pelancaran komputer peribadi pertama buatan Malaysia ini memperlihatkan keupayaan Malaysia yang telah maju setapak lagi dalam bidang perindustrian teknologi tinggi serta membuktikan negara ini juga setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Kredit sumber : Ihsan ARKIB NEGARA MALAYSIA