Home Artikel PAS Melaka

Kolumnis : Iqtisad rakyat – Ulasan awal bajet 2021

705
SHARE

BAJET ataupun belanjawaan 2021 telah dibentangkan oleh YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia, di Parlimen pada hari Jumaat, 6 November baru-baru ini.

Bajet yang diselubungi dengan pandemik Covid-19 ini disifatkan oleh YB Tengku Zafrul sebagai bajet yang menongkah teori asas ekonomi yang mana mengikut teori, pada kebiasaannya bilamana pendapatan berkurangan maka perbelanjaan juga akan berkurangan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Mengikut data yang dikeluarkan, jumlah keseluruhan bajet 2021 adalah sebanyak RM322.5 billion, merupakan yang terbesar dalam sejarah negara kita, naik sebanyak 10.61 peratus daripada Bajet 2020. Daripada jumlah di atas, perbelanjaan mengurus adalah sebanyak RM236.5 billion (73.3 peratus), perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM69 billion (21.4 peratus) dan selebihnya adalan untuk Kumpulan Wang Covid-19 yang berjumlah RM17 billion.

Daripada jumlah sebanyak RM236.5 billion untuk perbelanjaan mengurus, Emolumen merupakan komponen terbesar iaitu sebanyak RM84.5 billion (35.7 peratus) yang merangkumi kenaikan gaji tahunan penjawat awam di samping persaraan pula meningkat sebanyak dua peratus menjadikan jumlah kepada RM27.6 billion iaitu 11.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus.

Bajet 2021 ini secara keseluruhannya bersifat menyeluruh dengan penekanan diberi kepada semua sektor utama di negara kita khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat di negara kita ini. Antaranya ialah menaikkan kadar bantuan bulanan kebajikan OKU daripada RM250 kepada RM300, kadar bantuan kanak-kanak keluarga miskin dengan jumlah maksimum RM1,000/ keluarga, yang mana jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM2.2 billion dengan manfaat kepada 400,000 penerima.

Majlis Pekerjaan Negara juga ditubuhkan dengan sasaran sebagai agensi penyelaras pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk mencipta peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja. Sejumlah RM2 billion diperuntukkan untuk inisiatif penambahan pekerja ini dengan sasaran penyediaan 250,000 peluang pekerjaan. Di samping itu melalui program MySTEP (short term employment programme), kira-kira 50,000 peluang pekerjaan dapat ditawarkan secara kontrak dalam sektor awam dan GLC dengan peruntukan sebanyak RM700 juta.

Bagi negeri Melaka khususnya, antara berita baik yang diumumkan oleh Menteri Kewangan melalui bajet 2021 ialah sejumlah RM150 juta akan diperuntukkan bagi projek penyaluran bekalan air mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru, Jasin ke Empangan Jus. Ini sekali gus akan dapat meningkatkan lagi mutu bekalan air di seluruh negeri Melaka serta dapat mengatasi masalah keputusan bekalan air yang sering terjadi seperti sebelum ini.

Namun begitu beberapa perkara perlu dikaji dan dibaiki semula bagi memantapkan lagi bajet 2021 ini, antaranya ialah :

a. Pengeluaran wang KWSP daripada akaun 1

Perkara ini menjadi bualan hangat sebelum dan selepas Bajet 2021 dibentangkan. Secara realitinya, isu ini menenggelamkan hampir kesemua tawaran-tawaran utama dan hebat yang dibuat oleh kerajaan. Rata-rata rakyat terutamanya pendeposit KWSP mensasarkan kepada cadangan dan pandangan awal yang dibuat oleh pelbagai pihak bagi membolehkan mereka mengeluarkan sejumlah minimum RM5,000 atau 10 peratus daripada jumlah akaun 1 (yang mana lebih rendah) bagi kegunaan segera mereka khususnya dalam meghadapi situasi sulit yang sama-sama kita hadapi sekarang ini. Lebih empat juta pendeposit yang aktif meletakkan harapan yang tinggi dalam cadangan ini dan mengharapkan persetujuan daripada pihak kerajaan.

Namun melalui bajet yang diumumkan, kerajaan hanya bersetuju untuk membenarkan pengeluaran bersasar kepada 600,000 orang pendeposit dengan jumlah RM500 sebulan bagi tempoh selama 12 bulan (jumlah keseluruhan RM6,000).

Hal ini ada pro dan kontranya, maka kita berharap melalui perbahasan bajet ini nanti, ahli-ahli parlimen kita khususnya dari PAS akan dapat menyuarakan kepada pihak kerajaan tentang peri pentingnya untuk menilai kembali hasrat sebahagian besar rakyat supaya pengeluaran minimum RM5,000 atau 10 peratus (yang mana lebih rendah) melalui akaun 1 KWSP kepada semua empat juta lebih ahli, dapat dipertimbangkan semula.

Ia boleh menggunapakai kaedah yang lebih efektif dan segera, seperti contoh 60 peratus untuk pengeluaran bulan pertama dan baki 20 peratus untuk pengeluaran bulan kedua dan ketiga. Dengan kaedah ini sekurang-kurangnya pada bulan pertama mereka mendapat sejumlah RM3,000 yang boleh mereka gunakan untuk pelbagai keperluan hidup dalam keadaan semasa yang mendesak.

b. Bantuan baucar buku dan e-wallet untuk mahasiswa/mahasiswi

Kita juga mengharapkan agar Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengetengahkan kepada Kementerian Kewangan agar skim baucar buku yang bernilai RM200 – RM250 seperti yang pernah dibuat di era Perdana Menteri ke-6 iaitu Dato’ Sri Najib Tun Razak dapat dikembalikan semula melalui Bajet 2021 ini kerana ianya amat membantu mahasiswa/mahasiswi kita yang sebahagian besarnya terhimpit dengan bebanan ekonomi.

Di samping itu peruntukan e-wallet bernilai RM30-RM50 sebulan bagi pembelian data internet juga boleh dipertimbangkan kerana situasi pembelajaran semasa di IPTA dan IPTS amat memerlukan data internet bagi tujuan pembelajaran

c. Moratorium kepada golongan M40 di samping golongan B40

Selain daripada golongan B40, sebahagian besar daripada golongan M40 juga terkesan dengan impak pandemik Covid-19 ini. Justeru penilaian semula tentang pelanjutan tempoh moratorium secara automatik, untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi diharap dapat diambil kira dan dipertimbangkan dengan sewajarnya

Akhirnya, besarlah harapan kita agar perbahasan bajet ini nanti akan berlangsung dalam suasana yang harmoni, matang dan akhirnya dapat diluluskan dengan beberapa penambahbaikan seperti yang dicadangkan di atas. Utamakanlah kesejahteraan rakyat.

Teguh Kita, Menang Bersama
Islam Memperkukuh Perpaduan

HAJI RAFIE BIN AHMAD
Ketua Lajnah Ekonomi PAS Negeri Melaka
TYDP PAS Kawasan Tangga Batu

Sumber : Facebook PAS Tangga Batu


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)