Home Berita PAS Melaka

Orang Melayu, Islam tidak boleh berbalah lagi – KM Melaka

797
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 8 Nov : “Melayu, Islam, tidak boleh lagi berbalah di antara satu dengan yang lain. Tidak ada keberuntungannya untuk kita berbalah lagi.

“Yang ada ni, kenikmatan yang Allah Taala bagi ni kita jaga baik-baik untuk kita sambungkan kepada anak cucu kita yang akan datang, untuk membawa nama agama kita ini ke peringkat yang lebih tinggi lagi.”

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika memberi ucapan penutup dalam program turun padang dan ziarah kasih di DUN Ayer Limau di sini pagi semalam.

Beliau turut memohon agar semua orang Melayu dan Islam untuk menjaga persaudaraan sesama Islam dan juga menjaga agama Islam ini.

“Atas nama Islam, atas nama silaturrahim yang dituntut oleh Allah swt. Kita sebagai hamba-Nya, jaga baik-baik. Jaga agama kita baik-baik.

“Tiada siapa yang boleh menjamin kenikmatan yang kita dapat hari ini, kesinambungan ini boleh kita galaskan kepada anak-anak kita. Belum ada jaminan lagi,” ujar beliau.

Beliau turut menggesa agar semua orang Melayu dan Islam menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada generasi muda agar mereka dapat menghargai perpaduan, semangat kekitaan dan silaturrahim di kalangan umat Islam.

Program yang bermula dengan solat Subuh berjemaah dan mendengar kuliah Subuh itu kemudiannya diteruskan dengan program ziarah kasih ke enam buah rumah penduduk sekitar yang terdiri daripada golongan warga emas dan uzur.

Turut bersama di dalam program ini ialah YB Datuk Wira Amiruddin Yusof yang bertindak sebagai tuan rumah untuk program kali ini, Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Arshad Md Som, juga sidang-sidang dan anggota JPKK di dalam DUN Ayer Limau.

Selain itu rombongan Ketua Menteri Melaka ini juga diiringi oleh pegawai-pegawai kanan agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan seperti Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Alor Gajah.


 

Wartawan Rakyat Melaka (WARM)