Home Artikel PAS Melaka

Kagum dengan Ketua Menteri Melaka utamakan solat subuh berjemaah- Ustaz Imran

884
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 8 Nov: “Saya kagum dengan Ketua Menteri kita ni, Datuk Seri Utama Sulaiman yang menjadikan solat subuh berjemaah dan kuliah subuh sebagai program utama setiap kali beliau turun padang.”

Demikian dinyatakan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman ketika mengiringi Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam program turun padang dan ziarah kasih di DUN Ayer Limau di sini pagi semalam.

Tambah Ustaz Imran lagi, ini adalah satu contoh yang sangat baik dan bertepatan dengan konsep kepimpinan dalam Islam yang menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat dari sudut menunaikan tuntutan ibadah kepada Allah swt.

“Kita pun seronok bila ada Ketua Menteri yang bersikap begini. Yang menitikberatkan soal agama,” ujar beliau

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka menambah, PAS Kawasan Masjid Tanah akan sentiasa menyokong program-program kemasyarakatan yang dijalankan oleh kerajaan terutama yang melibatkan Ketua Menteri, ADUN atau JPKK dan bersedia untuk bersama dalam program-program seperti ini.

“Bagi saya keterlibatan aktivis-aktivis dan pemimpin-pemimpin PAS dalam program-program seperti ini membuktikan kerjasama erat antara parti-parti dalam Muafakat Nasional dan kerajaan yang telah kita bentuk bersama,” ujar beliau.

Selain turut sama dalam lawatan ziarah kasih ke enam buah rumah terpilih yang terdiri daripada golongan warga emas atau mereka yang terlantar sakit, Ustaz Imran turut diminta oleh Ketua Menteri Melaka itu untuk membacakan doa selamat dan kesembuhan untuk mereka yang diziarahi itu.

Turut bersama di dalam program ini ialah YB Datuk Wira Amiruddin Yusof yang bertindak sebagai tuan rumah untuk program kali ini, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Arshad Md Som, juga sidang-sidang dan anggota JPKK di dalam DUN Ayer Limau.

Selain itu rombongan Ketua Menteri Melaka ini juga diiringi oleh pegawai-pegawai kanan agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan seperti Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Alor Gajah.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)