Home Berita PAS Melaka

Kalam Murabbi : Konsep jihad

2899
SHARE

Pengertian jihad

JIHAD dari sudut bahasa bermaksud kepayah atau kekuatan. Dari sudut istilah pula adalah merangkumi setiap perbuatan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh memerah keringat demi matlamat menegakkan agama Islam. Asas kepada kewajipan jihad adalah untuk memelihara perjalanan dakwah.

Dalil wajib berjihad

1) Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 78 :

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍۚ

Maksudnya: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

2) Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Berjihadlah ke atas orang kafir dengan tangan dan lidah kamu”

HR AHMAD

Kita telah mempelajari bahawa berdakwah itu adalah wajib kepada semua termasuk golongan penjenayah, kerajaan, pelaku maksiat dan sebagainya. Sudah tentu akan ada mereka yang tidak senang dengan teguran Islam, lalu berusaha untuk menyekat dakwah dan permusuhan akan berlaku. Oleh itu, jihad menjadi wajib untuk melawan serangan musuh supaya terus disebar.

Gambaran jihad zaman Nabi

ERA MAKKI

1) Dakwah secara sembunyi bermula turunnya wahyu pertama sehingga tahun ketiga menjadi nabi. Ia berlaku dengan penuh kerahsiaan.

2) Dakwah secara terang-terangan sehingga berhijrah ke Madinah. Islam mula disebarkan secara terbuka kepada masyarakat sekeliling.

ERA MADANI

1) Jihad dengan peperangan mempertahankan diri. Bermula daripada penubuhan negara Islam pertama Madinah sehingga peristiwa perjanjian hudaibiyyah.

2) Melawan sesiapa yang menolak Islam. Bermula daripada termeterai perjanjian Hudaibiyyah tahun ke-6 Hijrah sehingga wafatnya Baginda SAW.

Bentuk jihad daripada Al Quran dan Sunnah

1) Jihad peperangan

Firman Allah:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌۭ لَّكُمْ ۖ

“Diwajibkan ke atas kamu berperang, sedangkan ianya amat kamu benci.”

Surah al-Baqarah ayat 216.

2) Jihad dalam bidang Ilmu

Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ (١٢٢)

“Dan tidak sepatutnya bagi orang yang beriman itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada setiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali. Mudah-mudahan mereka itu dapat menjaga diri mereka.”

3) Jihad harta

Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 261 bermaksud:

“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

(Surah al-Baqarah, ayat 261)

4) Jihad hawa nafsu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pejuang itu adalah mereka yang berjuang melawan nafsunya untuk mentaati Allah”

HR TIRMIZI

Kelebihan jihad

1) Jihad adalah amalan paling afdal selepas amalan Fardu Ain.

2) Pahala orang berjihad bertambah sehingga hari kiamat dan selamat daripada seksa kubur.

3) Orang yang keluar berjihad akan memperoleh ganjaran syurga Firdaus.

Kesimpulannya, jihad merupakan kefarduan setiap Muslim menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Jihad merupakan tugasan yang berat tetapi mempunyai ganjaran yang besar.

Rasulullah bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya syurga itu ada 100 darjat, yang disediakan untuk pejuang di jalannya, jarak antara dua darjat adalah seperti langit dan bumi. Maka apabila kamu memohon, pohonlah syurga Firdaus. Ianya adalah syurga yang paling baik dan tinggi, daripadanyalah punca aliran sungai-sungai syurga.”

HR Bukhari

Moga bermanfaat!

Sumber: Nadi Perjuangan

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka,
• YDP PAS Kawasan Masjid Tanah

Kredit : Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)