Oleh : Abu Harith
“TIADA kegagalan, tapi hanyalah maklum balas…”
Ini merupakan satu pernyataan keramat sebenarnya bagi mereka yang inginkan berjaya. Manakan tidak, jika direnung dalam-dalam kata-kata ini memang ada kebenarannya. Setiap perkara yang berlaku dan ditujukan kepada kita sebenarnya adalah satu bentuk maklum balas penting untuk kita ambil sesuatu tindakan selanjutnya.
Jika sesuatu perkara yang dilakukan itu gagal, maka ia hanyalah satu maklum balas memberitahu kita bahawa apa yang dilakukan di awalnya itu tidak tepat atau salah caranya. Baiki cara kita bertindak dan cubalah lagi. Lihatlah, bagaimana pula hasilnya. Secara logiknya, apabila tindakan berubah, hasilnya akan turut berubah. Jika tidak banyak, sedikit itu pasti.
Cara kita menerima setiap maklum balas sangat penting. Ia akan mempengaruhi pemikiran, emosi dan cara kita bertindak selepas itu. Ada orang cepat melenting apabila ditegur, diberi tunjuk ajar. Kelaknya, setiap respon yang dikeluarkan cenderung untuk agresif. Mudah marah-marah dan akhirnya diri sendiri yang rugi.
Sayangnya, ramai orang mencari maklum balas daripada mereka yang hanya cenderung memberikan yang positif sahaja. Sehinggakan mereka lupa, kadang-kadang maklum balas itu lebih banyak untuk menjaga hati daripada mendidik hati. Kena berhati-hati.
Ken Blancard pernah mengatakan, “Maklum balas adalah sarapan sang juara. Seseorang yang bersedia menerima ataupun mendapatkan maklum balas adalah orang yang berkemahuan menempa kejayaan yang tinggi.”
Kesediaan menerima maklum balas juga mencerminkan kedewasaan seseorang dalam menerima reaksi orang lain. Sedia menerima maklum balas daripada orang sebenarnya, mampu meningkatkan kecerdasan emosi.
Pada dasarnya, manusia adalah makhluk yang sukar dan ego menerima maklum balas daripada orang lain.
Jack Canfield mengatakan, “Tidak semua maklum balas itu tepat dan berguna. Kita harus mempertimbangkan sumbernya dan keadaan psikologi seseorang itu ketika beliau memberikan maklum balas.” Kawal diri untuk berfikir dan menyesuaikan setiap maklum balas itu dengan keadaan diri kita dahulu.
Kita bukan makhluk yang sempurna. Kesempurnaan itu hanya pada Allah SWT, Pencipta kepada makhluk. Belajar untuk berlapang dada sebagai tanda kerendahan hati dan sebagai tanda seorang hamba yang berjalan menuju kepada Yang Maha Sempurna.
Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar