Home Artikel PAS Melaka

Ustaz Abdul Halim terima pingat BCM

1555
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

HANG TUAH JAYA, 31 Okt : Mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Halim Maidin hari ini menerima anugerah pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM), sempena sambutan Hari Jadi yang ke 71, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Hj Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri di sini pagi tadi.

Ustaz Abdul Halim, 61, yang dilahirkan pada 20 September 1959 ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak pada tahun 1966 dan kemudiannya meneruskan persekolahan ke Sekolah Menengah Agama Rakyat Pengkalan Balak.

Beliau kemudiannya meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Sultan Muhammad Batu Berendam Melaka sebelum ke Kolej Islam Kelang (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah) pada tahun 1975.

Selepas itu beliau menyambung pengajian beliau ke peringkat tinggi di Institut Perguruan Islam (MPI PJ) pada tahun 1979 dan seterusnya mengambil ijazah Muda Kepujian Ilmu Kemanusiaan (Sejarah Dan Sains Politik) pada tahun 1987.

Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru bermula dari tahun 1981 di SK Bumiputera Lundu Sarawak dan mengakhiri kerjaya beliau ini di SMK Kampung Gelam dan bersara wajib pada tahun 2012.

Beliau yang mempunyai seorang isteri, Zaleha Mohd Nor, dan dikurniakan sembilan orang anak ini juga aktif dalam sukan petanque dan telah beberapa kali menjadi pengurus pasukan negara ke beberapa kejohanan dunia, antaranya Sukan SEA Palembang 2011 dan Asia Petanque Championship Bhupaneswar India 2018.

Beliau yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS dari 2015 hingga 2018 itu pernah bertanding di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2014 di N12 Dun Pantai Kundur namun tidak berjaya memenangi kerusi tersebut.

Pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) yang diterima Ustaz Halim ini mula dikurniakan pada tahun 1988 kepada orang perseorangan yang telah berbakti dan memberi perkhidmatan yang baik kepada Negeri Melaka namun tidak membawa sebarang gelaran.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)