Oleh : Anas Abdullah
HANG TUAH JAYA, 31 Okt : Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman telah menerima anugerah pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM), sempena sambutan hari jadi ke-71, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Hj Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri di sini pagi tadi.
Ustaz Imran, 54, yang dilahirkan pada tahun 1966 di Kampung Pengkalan Balak Masjid Tanah ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tambichik Karim dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Selangor.
Beliau pernah mengambil Sijil Pengajian Islam di Universiti Teknologi Malaysia (1993-1995) dan Diploma Pengajian Islam daripada Kolej Dar Al Hikmah (1998-2001).
Beliau mempunyai seorang isteri, Zuraidah Haji Ismail, selain dikurniakan empat orang cahaya mata yang sama-sama membantu beliau mengusahakan PASTI Ar Rahman di Pengkalan Balak.
Beliau juga pernah beberapa kali menjadi calon pilihan raya mewakili PAS dengan yang terbaru ialah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lepas di kawasan tradisi beliau di DUN Tanjung Bidara namun belum berjaya memenanginya.
Beliau yang telah lama aktif di dalam PAS semenjak masih dalam usia pemuda ini pernah menjawat beberapa jawatan penting antaranya sebagai Ketua Dewan Pemuda Kawasan Masjid Tanah (2002-2007), Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (2007-2012) dan Timbalan Pengarah Jabatan PASTI Negeri Melaka (2005-2012).
Selain sebagai Timbalan Pesuruhjaya-2 Badan Perhubungan PAS Melaka beliau juga adalah merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Masjid Tanah dan juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pusat Falak Al Khawarizmi Tanjung Bidara selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Melaka baru-baru ini.
Pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) yang diterima Ustaz Imran ini mula dikurniakan pada tahun 1988 kepada orang perseorangan yang telah berbakti dan memberi perkhidmatan yang baik kepada Negeri Melaka namun tidak membawa sebarang gelaran.