Home Artikel PAS Melaka

Salam Maulidur Rasul, PAS Kawasan Masjid Tanah – Boikot produk Perancis!

297
SHARE

HARI ini adalah hari yang sangat bertuah dan bercahaya kerana pada hari ini kita sekali lagi menyambut hari kebesaran kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Sudah tentu kelahiran Baginda Rasulullah SAW ini memberi makna yang begitu besar kepada seluruh umat manusia kerana dengan kelahiran Baginda maka kita semua telah menerima cahaya Islam, hidayah dan keimanan.

Namun baru-baru ini, hanya beberapa hari sahaja sebelum kita merayakan hari kelahiran junjungan kita ini, telah berlaku peristiwa penghinaan terhadap Baginda di Perancis. Dan ini bukan kali pertama!

Kita tidak menyokong tindakan ganas daripada mana-mana umat Islam, namun perbuatan menghina Rasulullah SAW adalah sangat tidak boleh diterima oleh umat Islam. Malah orang yang menghina Rasulullah itu iaitu Samuel Paty telah diberi anugerah wira negara oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Sebelum ini juga beberapa orang rakyat Perancis beberapa kali telah melakukan penghinaan terhadap Rasulullah SAW melalui penerbitan majalah Charlie Hebdo yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam.

Kerana keangkuhan dan kebiadaban mereka ini maka wajarlah kita sama-sama memboikot produk keluaran negara Perancis sebagai tanda bantahan dan kemarahan kita.

Antara jenama keluar Perancis ialah Perrier, Avian, Tefal, Peugeot,
Renault, Michelin, BIC, Miko (Walls), Moulinex, Volvic, Loreal, Lancome dan barangan jenama mewah seperti Chanel, Givenchy, Lacoste, Cartier, Yves Saint Laurent, Hermes dan banyak lagi.

Kita mesti sama-sama menunjukkan kesatuan kita sebagai umat Islam untuk memboikot produk Perancis ini sebagai satu tekanan ekonomi kepada mereka sebagai pengajaran.

Mungkin ini sahaja yang kita mampu lakukan di saat ini. Namun kita kita harus melakukannya atas kemampuan kita sebagai menunjukkan rasa cinta kita kepada Rasulullah SAW. Jangan sampai kita sekadar berpeluk tubuh melihat junjungan kita dihina.

Ini sesuai dengan hadis Baginda yang berbunyi:

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua ibu bapanya, anaknya, dan manusia seluruhnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Ya Rasulullah, maafkan kelemahan kami umatmu yang tidak mampu melakukan yang terbaik mempertahankanmu ketika namamu yang mulia itu dihina.

Salam Maulidur Rasul 1442 Hijrah daripada seluruh AJK dan warga PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka.

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
YDP PAS Kawasan Masjid Tanah
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
12 Rabi’ul Awal 1442H | 29 Oktober 2020


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)