Home Artikel PAS Melaka

Ketua Menteri Melaka umum peruntukan RM5 ribu untuk Masjid As-Salam Air Hitam Darat

389
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, 26 Okt : Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 ribu untuk Masjid As-Salam, kampung Air Hitam Darat.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas selesai kuliah Subuh di masjid itu sempena program turun padang beliau ke Kampung Air Hitam Darat, Tanjung Bidara di sini pagi semalam.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh tentang peri pentingnya hubungan silaturrahim antara sesama umat Islam dan juga tanggung jawab bersama dalam memartabatkan agama Islam.

Dalam majlis yang sama Ketua Menteri Melaka itu turut menyampaikan sumbangan saguhati kepada Pegawai-pegawai Syarak Masjid As-Salam.

Penerima-penerima sumbangan itu ialah, Imam 1, Ab Aziz Mohamad; Imam-2, Ustaz Mohd Rais Ishah; Imam-3, Ustaz Mohd Zaki Aminnudin; Bilal, Mohd Isa Md Zahar; Noja, Ghazali Ibrahim; Bilal Wanita-1 /Pengurus Jenazah, Norliyza Hussein dan Bilal Wanita-2 / Pengurus Jenazah-2, Noormah Asar.

Terdahulu beliau telah menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid itu bersama penduduk setempat dan seterusnya mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh Imam-2 Ustaz Mohd Rais Ishah.

Rombongan Ketua Menteri Melaka ini kemudiannya menyantuni penduduk kampung dengan bersarapan bersama mereka di Warung Jani (Roti Canai Sarang Burung).

Beliau bersama rombongan kemudiannya telah melakukan ziarah kasih ke empat buah rumah yang dihuni warga tua dan uzur iaitu rumah Nah Debab dan Siti Robiah Enchik di Jalan Haji Jantan, kemudiannya ke rumah Yusop Sehat dan Rahimah Hassan di Jalan Raja Pasai 1.

Program berakhir dengan Ketua Menteri melakukan tinjauan di kawasan berlakunya kejadian hakisan pantai yang berlaku baru-baru ini di kampung Pasir Gembur.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abd Rahman; Adun Tanjung Bidara yang juga Timbalan Pengerusi MAIM, YB Datuk Md Rawi Mahmud; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, YB Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Melaka, YB Datuk Wira Latipah Omar.

 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)