Home Berita PAS Melaka

Syarat lepas fardu ain, 5 tahun mengaji : TG Abu Yamin Ramle

1028
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

HANG TUAH JAYA, 15 Okt : “Syarat nak lepas fardu ain, mengaji sekurang-kurangnya lima tahun dan mengaji sekurang-kurangnya lapan buah kitab sehari.” kata Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia Melaka, Tuan Guru Abu Yamin Ramle ketika berkongsi pengalaman beliau menuntut ilmu di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan satu masa dahulu.

Menjawab persoalan silibus yang digunapakai di institusi pondok, beliau turut berkongsi pengalamannya lebih 10 tahun sebagai penuntut di institusi itu.

“Kebanyakan sistem pembelajaran institusi pondok merangkumi sitem ‘nizami’ dan ‘umumi’.

“Sistem ‘nizami’ adalah pengajian yang lebih khusus serta berfokus mengikut peringkat dan kemahiran masing-masing dan dijalankan dalam tempoh yang singkat.

“Adapun sistem umumi pula merangkumi ilmu umum pelbagai ilmu seperti tafsir, hadis, tauhid dan fiqh yang diadakan dalam tempoh yang lama.” jelas beliau.

Menurut Tuan Guru Abu Yamin lagi, setiap ilmu akan diajar secara berperingkat bermula dengan kitab-kitab kecil yang mudah kemudian beralih kepada kitab-kitab pertengahan dan besar yang kebanyakannya dalam bahasa Arab.

Tambah beliau, menjadi kewajipan penuntut ilmu di pondok untuk menguasai ilmu nahu sorof (tatabahasa bahasa arab) bagi menguasai pembacaan kitab.

Beliau juga sempat mengimbau memori ketika ziarah pertamanya sebelum memasuki pondok.

“Tuan Guru saya tanya, nak mengaji lama ke nak mengaji kejap? Nak mengaji lama mengaji kitab Arab.”

Kata beliau, itu saranan gurunya iaitu Tuan Guru Haji Hasyim ketika beliau menjejakkan kaki di Pondok Pasir Tumboh Kelantan.

Kongsinya lagi hari-harinya di pondok bermula awal pagi usai solat subuh berjemaah, wirid dan zikir bersama guru menjadi makanan rohani pertama setiap hari ketika memulakan pengajian.

Ketika ditanya mengenai peranan beliau di tengah masyarakat, beliau sempat berpesan agar semua penuntut harus menjadikan tujuan menuntut ilmu itu adalah untuk memupuk keyakinan terhadap Allah SWT serta menjadi pelopor untuk mendidik masyarakat sejagat serta memantapkan akidah ummah.

Tuan Guru Abu Yamin berkata demikian semasa menjadi panelis dalam ‘Forum Kalam Murabbi, Peranan Institusi Pondok Dalam Mempertahankan Akidah Ummah’ yang dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka yang disiarkan secara ‘live’ di laman Facebook PAS Negeri Melaka malam tadi.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)